Punca bercerai, biar kami saja yang tahu. Sangat peribadi.”
Demikian komen penyanyi Zehra Zambri yang enggan mendedahkan punca keretakan rumah tangga dengan suami, Nur Mohd. Iqwan Samsudin memandangkan perkara tersebut adalah sulit.
Meskipun kedua-dua pihak sudah bersetuju untuk berpisah, Zehra, 37, hairan apabila proses tersebut dipanjangkan apabila Iqwan memfailkan nusyuz terhadapnya.
“Keputusan untuk berpisah secara ‘fast track’ telah pun dibincangkan dan dia tahu. Kami sudah bersetuju, bukan saya buat keputusan sesuka hati.
“Sepatutnya boleh diselesaikan secara ‘fast track’ tetapi dia mengambil tindakan memanjangkan hal ini, jadi saya ikut sahaja. Kalau dia nak failkan nusyuz pun silakan.
Saya sehabis baik menutup aib rumah tangga, tak perlu kongsi kepada umum kerana akan timbul pelbagai spekulasi. Saya hanya akan kongsikan segalanya di mahkamah,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui selepas majlis Raya Astro 2025, semalam.
Berkongsi lanjut, pelantun lagu Mari Bersama itu mengakui sudah lama berusaha menjaga ikatan perkahwinan mereka walaupun lelaki terbabit didakwa enggan berdamai.
Dia tidak mahu berdamai, kalau soal usaha untuk selamatkan rumah tangga, saya sudah berusaha bertahun-tahun.
“Saya juga berkorban selama tiga tahun demi memelihara rumah tangga, saya sudah berikan segala-galanya dan dia tahu itu,” ujarnya.
Terus membiarkan orang ramai melemparkan tohmahan dan fitnah, Zehra hanya mahu fokus menjaga kesihatan mental selain memberi perhatian buat anaknya yang masih kecil.
Orang luar tidak tahu apa yang saya lalui, teruskanlah buat tomahan dan fitnah saya. Keluarga saya tahu apa yang saya alami.
“Sekarang saya ingin menjaga kesihatan mental dan fokus kepada perkara baik-baik sahaja serta anak yang masih kecil,” ujarnya lagi.
Februari lalu, Iqwan mengesahkan Zehra bakal memfailkan cerai secara ‘fast track’ terhadap penyanyi berkenaan dalam masa terdekat.
Dalam masa sama, Iqwan turut ke mahkamah bagi tujuan memfailkan nusyuz terhadap Zehra sebagai langkah menyelamatkan rumah tangga mereka.
Sebelum ini, kehidupan peribadi Zehra menjadi bualan ramai selepas Iqwan dikatakan sudah memadam foto mereka bersama dalam Instagram.
Jelas Zehra, suaminya itu tidak memadam foto tersebut sebaliknya hanya diletakkan dalam mod arkib kerana tidak gemar menjadi perhatian umum sejak dia menyertai program Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11).
Zehra mendirikan rumah tangga dengan Iqwan pada 10 November 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang kini berusia tiga tahun.
Zehra pernah berkahwin dengan Wan Muhammad Nurhariz Hariri Wan Mohd Effendi pada 14 Oktober 2017 namun ikatan itu hanya bertahan selama enam bulan sebelum bercerai pada April 2018. – HIBGLAM