Bakal meraikan Syawal buat pertama kali sebagai seorang ibu tunggal sejak bercerai sekitar pertengahan tahun lalu, pelakon Emma Maembong tetap memilih untuk tetap beraya bersama bekas suaminya, Muhammad Shazli Azhar.
Menurut pemilik nama sebenar Fatimah Rohani Ismail, 33, ini, dia tidak mahu dua anaknya merasai kekurangan pada Aidilfitri kali ini.
Sebagai seorang yang lahir daripada keluarga yang bercerai, saya tidak mahu anak-anak saya juga merasai keperitan yang pernah saya lalui satu ketika dahulu.
“Dahulu, saya selalu tertanya-tanya kenapa ibu bapa saya perlu bercerai biarpun sudah mempunyai 11 orang anak.
“Saya pernah rasa penat kerana perlu beraya di dua buah rumah selepas ibu dan bapa berpisah. Jadi saya tidak mahu perkara yang sama berlaku kepada anak-anak saya.
Sebab itu saya pernah beritahu bekas suami walau apa pun yang terjadi, setiap kali raya mesti kena ada gambar berempat.
“Saya akan bawa anak-anak beraya di rumah bekas suami di sebelah pagi, selepas itu dia pula akan ikut beraya di rumah kami,” katanya. ‘

BIARPUN sudah bercerai, Emma mahu anak-anaknya mempunyai potret raya keluarga yang lengkap untuk selama-lamanya.
Tambah pelakon drama Seribu Tahun itu, penting untuk anak-anak mempunyai momen berharga bersama kedua-dua ibu bapa. Dia tidak mahu anak-anaknya membesar dengan memendam rasa.
“Dahulu kalau nak sambut hari lahir saya, saya kena sambut berasingan. Gambar keluarga pun tak pernah ada yang lengkap.
Saya sampai terpaksa lukis sendiri gambar kami sekeluarga bersama kerana saya tidak pernah berpeluang bergambar satu keluarga lengkap.
“Memang sakit rasa hidup dalam keluarga yang berantakan. Saya faham perasaan bagaimana seorang anak inginkan sebuah keluarga sempurna,” kongsinya.
Menangis
Akui ada perasaan sedih mengenangkan nasib beraya berstatus janda, Emma tetap cuba menerima segala takdir dengan tenang.
“Bohonglah kalau saya tak sedih tetapi saya tak boleh tunjukkan kesedihan di depan anak-anak.
Ada satu ketika anak sulung saya iaitu Shafiq Gabriel ternampak saya sedang menangis dalam bilik air, lepas tu dia datang dan tolong syampukan rambut saya dan cakap jangan menangis.
“Biarpun dia baru berusia empat tahun, dia sudah ada perasaan untuk menenangkan ibunya yang sedang dalam kesedihan. Saya bertuah kerana Allah beri anak lelaki yang akan jaga saya nanti,” ujarnya.

SAMPAI sekarang, Emma masih membahasakan bekas suaminya sebagai ‘biy’ dan dirinya dipanggil ‘sayang’ oleh Shazli.
Dipanggil ‘sayang’
Tidak seperti kebanyakan pasangan bercerai lain, Emma akui hubungannya dengan bekas suami masih baik, malah ada yang beranggapan mereka telah kembali rujuk gara-gara terlalu mesra.
Kami memang rapat. Kami juga keluar bersama untuk beli baju raya anak-anak.
“Kadang-kadang dia datang ke set penggambaraan bawa anak-anak. Sampai orang ingat saya kembali bersama dengan dia.
Saya masih panggil dia ‘biy’ dan dia pun masih panggil saya ‘sayang’.
“Perkara itu normal untuk kami tetapi mungkin tidak untuk orang lain,” jelas Emma.

BIARPUN sudah bercerai, Emma mahu anak-anaknya mempunyai potret raya keluarga yang lengkap untuk selama-lamanya.
Ujarnya lagi, dia dan bekas suami juga sepakat untuk sama-sama bergilir-gilir menjaga anak-anak.
“Saya lihat kebanyakan pasangan yang bercerai selalu berbalah tentang anak-anak. Bawa lari anak-anak untuk sakitkan hati bekas pasangan.
Ada yang bersungguh-sungguh nak anak tinggal dengan mereka, hujung-hujung yang jaga orang tua mereka, pembantu rumah atau adik-beradik sebab masing-masing sibuk bekerja.
“Daripada saya tinggalkan anak-anak dengan pembantu rumah atau keluarga sewaktu bekerja, lebih baik mereka tinggal bersama bapa mereka.
“Kalau bekas suami kerja, saya yang jaga anak-anak,” tutupnya. – HIBGLAM