SAMA-SAMA teruja menanti 1 Syawal yang bakal menjelma, namun setiap insan punya cita rasa berbeza dalam melakarkan keindahan lebaran.
Ada yang menyambutnya dengan penuh kesempurnaan, terdapat juga segelintir memilih meraikan Aidilfitri dalam kesederhanaan, cukup sekadar berkumpul bersama keluarga tersayang, bertukar salam dan doa dalam kehangatan kasih sayang.
Namun, seiring kemajuan zaman, rentak Aidilfitri tidak lagi seiring seperti dahulu, tradisi lama perlahan-lahan memudar ditelan arus digital.
Di celahan perbezaan tersebut, dua bintang Generasi Z (Gen Z), Hun Haqeem dan Qasrina Karim, turut menyelusuri peredaran masa, menyaksikan Syawal daripada dua perspektif berbeza, satu berakar dalam nostalgia, satu lagi berpaut pada realiti moden.
Biarpun berbeza cara, bagi mereka, kemeriahannya tetap sama. Aidilfitri masih membawa cahaya kebahagiaan, cuma warna sahaja berlainan tona.

AIDILFITRI membawa 1,001 makna buat si kacak Hun Haqeem dan si cantik rupawan Qasrina Karim . – Pakaian (@emiribrahim @heetamputeh @rrbyrizmanruzini @songket.kl @petra.rtw)
Qas rindu raya dulu-dulu
Bergelar Gen Z, pemilik nama penuh Qasrina Abd. Karim tidak dapat menyembunyikan kerinduan terhadap suasana Syawal ketika zaman kecilnya yang disifatkan lebih meriah.
Katanya, sambutan bulan mulia bukan sekadar perbezaan zaman tetapi rasa, ada kemanisan dan kehambaran apatah lagi dengan teknologi pesat yang seperti memaksa manusia melekat di skrin telefon tanpa peduli untuk beramah mesra.
“Meriah tetap meriah, tetapi ada sesuatu yang hilang.
Dahulu, Syawal bersama sanak-saudara terasa lebih dekat dan akrab. Kini, teknologi memudahkan segalanya tetapi dalam diam menghakis kemesraan tradisi.
“Contohnya, duit raya sekarang boleh diberi menerusi QR. Memang praktikal, tetapi apa jadi pada detik-detik istimewa saat tangan kecil menyambut huluran sampul, wajah terukir senyuman? Rasa keterujaan itu seperti sudah pudar.
“Tetapi kalau ikut kelebihan pula, zaman sekarang meriah dengan konten atau trend TikTok. Kalau kena cara boleh mengeratkan silaturahim juga, kita sendiri kena pandai,” katanya Qasrina ketika fotografi sempena Aidilfitri, baru-baru ini.

TERASA perbezaan, Qasrina mengakui merindui momen Aidilfitri ketika zaman kecilnya yang penuh kemeriahan tanpa gajet dan teknologi yang menghakis tradisi dan silaturahim. – Solekan & Penata Gaya (ELMANDA ZUHAIRY)
Selain zaman, satu perbezaan ketara pada musim raya buat pelakon Persis Boneka adalah suasana berbeza di pagi Syawal selepas kehilangan insan tersayang.
“Kalau betul-betul mahu cakap fasal perbezaan. Raya kini sejujurnya tidak lagi sama selepas nenek meninggal dunia.
Dahulu, rumah nenek di Kelantan adalah nadi pertemuan keluarga, tempat kasih sayang bercambah, lokasi memori terukir.
“Sekarang, kami berkumpul di rumah saya di Kuala Lumpur. Meriah tetap meriah, tetapi bayangnya tiada, auranya hilang. Sejak nenek meninggal, seolah-olah sebahagian daripada kemanisan raya turut terbang bersama.
Momen-momen manis seperti konvoi pulang ke Kelantan pada malam raya bersama sepupu-sepupu kini sekadar kenangan. Syawal tetap menjelma, tetapi kemeriahannya sudah tidak sama lagi,” luahnya.
Raya terakhir bujang Hun?
Di sisi lain, Syawal bagi pemilik nama sebenar Haqeem Hermy pula satu medan persoalan. Bukan lagi tentang juadah atau pakaian, tetapi tentang jodoh yang sentiasa menjadi bualan.
Setiap kali beraya, kata pelakon Kampung People itu, soalan tentang perkahwinan bagaikan irama wajib dalam perbualan sanak saudara.
“Tak dapat lari! Tahun demi tahun, soalan yang sama. ‘Bila nak kahwin? Dah ada calon atau belum’.
Tapi saya tak rimas, malah anggap itu doa. Jujurnya, saya memang teringin kahwin awal andai dikurniakan jodoh.
“Saya faham, saya pun memang tinggal bersama ibu, jadi persoalan dan pertanyaan itu memang selalu. Lagi pun benda baik. Kalau waktunya sudah tiba, saya bersedia sahaja.

TIDAK rimas disua soalan jodoh ketika raya, Hun sebaliknya menganggap semua itu doa, malah mahu segera berkahwin andai dikurniakan jodoh.
Kendati pun tiada siapa sedang bertakhta di hati, Hun sentiasa berdoa dikurniakan pasangan hidup secepat mungkin, namun tetap menyerahkan segala ketentuan kepada Maha Esa.
“Kita tidak boleh mendesak sesuatu yang belum pasti, saya sendiri tidak letak target mahu kahwin bila dan pada umur berapa. Kalau ada jodoh, ada, serahkan semuanya kepada Tuhan.
Doakanlah yang baik-baik mana tahu tahun ini kali terakhir saya beraya seorang? Sebagai lelaki, apa lagi yang kita kejar selain menamatkan zaman bujang kan? Calonnya tiada lagi tetapi tak salah simpan impian.
“Lagi pun macam seronok juga kalau dapat beraya berdua dengan pasangan hidup yang kita sayang, mesti lagi meriah,” ujarnya tersenyum.
Qas sederhana sambut raya, Hun ‘all out’
Berbicara tentang persiapan Syawal yang berbaki dua hari sahaja lagi, Qasrina dan Hun punya gaya tersendiri yang bezanya seperti langit dan bumi.
Sebagai seorang wanita, ramai menyangka pemegang Ijazah Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris itu berlumba-lumba mengumpul busana raya, sebaliknya, Qas lebih cenderung memilih kesederhanaan.

QAS cenderung bersederhana menyambut lebaran manakala Hun pula memilih untuk mengekalkan tradisi masyarakat Sarawak dengan menggayakan tujuh pasang baju Melayu sepanjang minggu pertama Syawal.
Setakat ini, ada empat pasang baju raya. Saya sederhana sahaja lagi pun baju raya tahun lepas pun ada yang tak sempat dipakai.
“Enggan membazir, itu azam saya tahun ini.
Kita cuba hidup lebih minimalis, saya belajar daripada kesilapan tahun-tahun sebelum ini, banyak beli baju raya tetapi tidak sempat pakai.
“Tahun ini saya memilih pakaian yang boleh dipakai semula untuk acara lain,” tuturnya.
Tenang di sisi berbeza, jejaka berwajah ‘oppa’ itu pula tetap teguh dengan tradisi Sarawak yang disematkan dalam jiwa sejak kecil iaitu memakai baju Melayu setiap hari selama seminggu pertama Syawal.
“Saya tetap akan pakai baju Melayu selama tujuh hari berturut-turut! Itu sudah menjadi budaya kami di Sarawak.
Semasa kecil memang rimas, setiap pagi mak suruh pakai baju Melayu. Bila sudah besar, baru saya faham, itu bukan sekadar pakaian, tetapi simbol budaya yang perlu dijaga.
“Sekarang, saya tetap ada tujuh pasang baju Melayu untuk seminggu raya dan beberapa helai lagi.
“Dari pagi hingga ke tengah malam, saya all out, Memang kita raya meriah lain macam,” ungkapnya. – HIBGLAM