‘Percaya qadar dan qadar, rezeki saya Allah yang tentukan’

SETAHUN lalu, si cantik tinggi lampai itu mengambil keputusan drastik meninggalkan Dolla, kumpulan dianggotai bersama tiga lagi wanita lincah dan seksi yang sedang mengecap fasa kemuncak dan digilai ramai.

Keputusan tersebut mengejutkan industri hiburan tempatan dan peminat. Ketika Dolla sedang menempa populariti bukan sahaja di Malaysia malah hingga ke peringkat antarabangsa, seorang ahli yang boleh dikatakan sumber daya penarik pula mengundurkan diri.

Satu per satu kejutan dipersembahkan Syasya atau nama sebenarnya Norsyasya Afiqah Shahrizal, 24.

Selepas mengumumkan pengunduran daripada Dolla, Syasya yang sebelum ini terkenal dengan imej seksi, kemudian mengambil keputusan berhijab.

Sebulan selepas itu, dia sekali lagi mengejutkan khalayak apabila mengambil keputusan menamatkan zaman bujang bersama pilihan hati, Nasrullah Mohd. Sapie.

TERASA bagaikan mimpi, Syasya yang dahulunya lincah di pentas bersama Dolla kini  bahagia menikmati hidup sebagai isteri dan ibu pada usia muda. – Jurusolek ATI HARUN

Dalam masa setahun, banyak perkara berlaku dalam hidup Syasya. Dalam tempoh sama, dia juga memegang dua status isteri dan ibu.

Semua yang berlaku dalam hidup saya terasa begitu pantas. Dalam masa kurang setahun saya membuat beberapa keputusan terbesar dalam hidup saya. Siapa sangka hari ini saya merupakan seorang isteri dan ibu kepada seorang bayi lelaki.

“Inilah yang dinamakan takdir kehidupan. Tiada siapa yang tahu apa akan jadi dalam hidup kita pada masa hadapan.

Saya percaya dan serahkan kehidupan saya sepenuhnya kepada Allah SWT. Mungkin ramai yang cakap saya menolak tuah dengan mengambil keputusan meninggalkan Dolla terlalu awal.

“Tetapi saya percaya kepada qada dan qadar. Rezeki saya Allah yang tentukan,” tuturnya mengimbas semula perjalanan hidup sejak setahun lalu.

Tanya penulis kepadanya, pernahkah terbit rasa kesal kerana meninggalkan Dolla sewaktu namanya berada di puncak. Mudah sahaja jawapan Syasya: “Tiada sesalan.”

Di sebalik semua yang berlaku, yang dirasakannya adalah rindu dan rasa bersalah terhadap teman-teman.

Jujur saya ada rasa bersalah kerana terpaksa meninggalkan teman-teman yang sudah saya anggap seperti saudara sendiri.

“Syukur kerana mereka sangat memahami dan menerima keputusan saya serta menyokong perjalanan baharu kehidupan saya. Lama-kelamaan rasa bersalah itu makin terpadam,” ujarnya.

Tambah cucu kepada dramatis veteran, Rozie Othman itu lagi, apa yang menguatkan dirinya menempuhi lembaran baharu dalam hidup adalah insan-insan sekeliling yang menjadi sistem sokongan dan terus merengkuhnya ke arah kebaikan.

Terus terang saya katakan untuk kekal istiqamah tidak mudah. Tetapi tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk menanggalkan hijab dan kembali kepada kehidupan lalu.

“Cuma apa yang kadangkala menyesakkan adalah tanggapan orang ramai terhadap wanita yang berhijab.

Mereka fikir saya berubah menjadi alim. Dilabel cuba menjadi ustazah. Itu sama sekali tidak benar.

“Saya masih merangkak dan belajar menjadi manusia yang lebih baik seperti orang lain. Tiada istilah nak jadi lebih baik daripada orang lain. Saya tidak pernah anggap diri lebih baik atau sempurna.

“Setiap manusia buat dosa yang berlainan. Tiada manusia yang dapat lari daripada buat silap,” jelasnya.

SYASYA bersyukur Dolla memahami  keputusannya dan menyokong perjalanan baharu kehidupan yang dipilihnya. – Penata Gaya (Hijab Ati Harun, Hana Halim, Mughni Che Din & Surya Ammari MCD Creative)

Seronok bergelar ibu

Tiada apa yang paling membahagiakan seorang wanita apabila dapat memegang status sebagai seorang ibu. Begitu juga buat Syasya. Hari-harinya kini dijalani penuh bahagia sejak kehadiran putera sulung, Muhammad Yassir Hayyan, pada Disember tahun lalu.

Tidak dinafikan agak mencabar kerana saya dan suami masih muda. Saya pun sedang melanjutkan pelajaran. Apa yang menjadikan perjalanan ini sangat bahagia apabila kami saling belajar bagaimana menjadi ibu bapa.

“Saya bertuah ada suami yang sangat memahami. Dia pun bangun tengah malam susukan anak atau tukar lampin. Jadi saya tidaklah keseorangan menempuhi perjalanan sebagai ibu,” kongsinya.

Ditanya apakah momen terindah bergelar seorang ibu, lantas Syasya menjawab apabila melihat anaknya tersenyum dan ketawa.

“Sekarang ini Yassir baru belajar gelak. Setiap kali dengar dia gelak rasa macam tak percaya yang ‘seketul’ Yassir keluar daripada tubuh saya.

Saya tidak sabar untuk melihat perkembangan daripada merangkak, berjalan dan berlari. Saya tak sangka pada usia 23 tahun, saya memiliki seorang anak yang comel,” ujarnya.

Hadiah untuk peminat

Rasanya ramai yang sudah mendengar malah mungkin sudah menghafal lagu raya duet Syasya bersama Fazura berjudul Raya Pum Pang.

BIARPUN ada melancarkan lagu raya bersama Fazura, Syasya tidak berhasrat untuk kembali aktif menyanyi dalam masa terdekat. – Jurusolek: ATI HARUN

Raya Pum Pang ibarat hadiah istimewa untuk peminat yang merindui suaranya. Namun kata Syasya, ini bukanlah kemunculan semula rasminya dalam industri. Raya Pum Pang sebaliknya sekadar memenuhi undangan Universal Music Malaysia.

“Saya tidak rancang pun untuk buat kemunculan semula kerana baru bersalin dan nak tumpukan perhatian kepada anak.

Tetapi bila pihak Universal tanya sama ada nak berkolaborasi dengan Fazura dan lepas dengar demo lagu ini, saya rasa menarik. Gandingan kami pun sesuatu yang tak akan dijangka.

“Rasanya kenapa tidak saya jadikan lagu ini sebagai hadiah hari raya untuk peminat. Lagu ini pun ada mesej yang baik selain berentak ‘catchy’,” jelasnya.

Begitu pun kata Syasya, selepas ini dia akan kembali fokus terhadap keluarga kerana itu adalah keutamaannya.

“Saya mahu melihat sendiri setiap perkembangan Yassir. Saya mahu pastikan saya sentiasa ada dengannya.

Dahulu bila saya sibuk bersama Dolla keliling dunia, saya kurang luangkan masa bersama keluarga. Kini saya sudah ada keluarga sendiri jadi saya mahu luangkan sebanyak masa yang mungkin.

“Dalam masa yang sama yang nak fokus tamatkan pelajaran. Dahulu asyik tertangguh sampai banyak kali tukar jurusan. Sekarang adalah masa yang paling tepat untuk saya fokus dan insya-Allah jika ada rezeki saya mahu buka klinik psikologi sendiri,’ kongsinya.

Bercerita tentang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi, Syasya sekeluarga bakal pulang ke kampung suaminya di Johor untuk meraikan lebaran di sana.

“Tahun ini giliran kampung suami kerana saya dah kalah main ‘oh som’ tiga kali. Jadi, kami akan beraya di Johor.

Saya okey sahaja. Ibu mentua pun sudah telefon minta saya menyanyi lagu Raya Pum Pang bila balik kampung nanti.

“Jika dulu saya beli baju raya untuk diri sendiri, kali ini nak kena cari untuk suami dan anak pula. Suami pula jenis suka pakai baju warna hitam sahaja. Tetapi Alhamdulillah saya berjaya pujuk dia pakai warna biru tahun ini,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok