RAMAI selebriti Indonesia bukan sahaja berjaya dalam kerjaya seni bahkan meraih pendapatan lumayan sebagai ahli perniagaan.
Ini sekali gus membuktikan industri hiburan juga mampu menjadi ladang emas bagi mereka yang memiliki bakat, sanggup berkerja keras dan bijak dalam menjana pendapatan.
Pasti ramai tertanya-tanya siapakah selebriti Indonesia terkaya sehingga mampu memiliki banyak aset dan bergelar jutawan.
Jom HibGlam senaraikan empat bintang seberang yang memiliki kekayaan luar biasa berdasarkan keputusan penyelidikan 2024.
Rey Utami
MEMILIKI kekayaan mencecah 6.3 trilion rupiah (RM1.7 bilion), Rey Utami disenaraikan sebagai antara artis terkaya ketika ini.
Rey bukan sahaja penyanyi dan bekas penyampai berita, dia juga pempengaruh dan pengusaha yang memiliki banyak perniagaan menguntungkan.
Salah satu bisnes yang dijalankan adalah Heritage Beauty dan Beauty Lounge yang memiliki lebih 24 cawangan di Indonesia.
Penyanyi berusia 38 tahun itu juga dikenali sebagai Ratu Hartanah di Sentul City, Jakarta kerana memiliki 500 unit rumah mewah.
Selain itu, dia juga merupakan pemilik restoran terkenal, Rumah Kuliner Rey Utami yang menyediakan pelbagai jenis juadah.
Raffi Ahmad
PELAKON Raffi Ahmad dilaporkan memiliki kekayaan sebanyak 1.03 trilion Rupiah bersamaan RM277 juta.
Difahamkan, kekayaan pelakon filem Rumput Tetangga itu terdiri daripada 45 bidang tanah dan memiliki bangunan di seluruh Indonesia yang dianggarkan bernilai 737 bilion Rupiah (RM200 juta).
Malah, aktor itu turut memiliki 23 kereta dan motosikal mewah yang dianggarkan bernilai 55 bilion Rupiah (RM14 juta).
Bukan itu sahaja, suami kepada pelakon Nagita Slavina turut mempunyai aset lain bernilai 46.7 bilion Rupiah (RM13 juta). Selain itu, dia turut memiliki aset dalam bentuk sekuriti (saham) bernilai 307 bilion Rupiah (RM84 juta), tunai dan setara tunai 5.3 bilion Rupiah (RM1.4 juta).
Agnez Mo
PENYANYI Agnez Mo antara artis terkaya memandangkan kadar bayaran paling mahal diletakkannya boleh mencecah 150 juta Rupiah (RM40,000) setiap lagu.
Selain menyanyi, pemilik nama lengkap Agnes Monica Muljoto itu juga aktif mempromosikan pelbagai jenis produk terkenal dengan memiliki 3 juta pengikut Instagram dan 1.39 juta pengikut YouTube.
Jumlah kutipan dari saluran YouTube miliknya dianggarkan sekitar 60 juta Rupiah (RM16,000) hingga 148 juta Rupiah (RM40,000) setiap bulan.
Penyanyi berusia 38 tahun itu juga memiliki beberapa cabang perniagaan termasuk kafe dan restoran, air minuman anggur Love Potion serta jenama minyak wanginya sendiri.
Dengan sumber pendapatan itu, Agnez dilaporkan memiliki kekayaan sekitar 600 bilion Rupiah (RM163 juta).
Ayu Ting Ting
TERKENAL dengan lagu Alamat Palsu, Ayu Ting Ting khabarnya menerima bayaran 150 juta Rupiah (RM40,000) untuk satu persembahan.
Pemilik nama sebenar Ayu Rosmalina itu juga aktif sebagai pelawak dan pengacara selain menerima tawaran kerja menjadi juri dalam pertandingan dangdut seperti Rising Star Dangdut dan KDI.
Penyanyi dangdut berusia 32 tahun itu juga memiliki 57 juta pengikut dalam Instagram dan menetapkan bayaran 17 juta Rupiah (RM4,500) setiap hantaran.
Malah, dia juga mengusahakan perniagaan kafe, karaoke dan hartanah. Dengan pelbagai sumber pendapatan, Ayu memiliki kekayaan sekitar 500 bilion Rupiah (RM135 juta). – HIBGLAM