Dibarisi pelakon handalan Bill Skarsgard, Nicholas Hoult, Emma Corrin dan Lily-Rose Depp, filem horror gothik arahan sutradara Robert Eggers ini merupakan antara naskhah luar biasa yang diluncurkan tahun lalu.
Dari segi teknikal termasuk sinematografi, reka bentuk kostum dan solekan, Nosferatu menang besar.
Disebabkan kualiti tersebut, filem remake Nosferatu: A Symphony of Horror (1922) itu menerima pencalonan dalam acara berprestij dunia, Academy Awards ke-97.
Penulis secara peribadi, tidak begitu menggemari plot atau penceritaan yang dipaparkan dalam Nosferatu. Filem ini bukan tulisan tipikal cerita berkisarkan puntianak atau drakula. Untuk mengamati sepenuhnya filem ini, perlukan sedikit kesenian dalam berfikir.

KARAKTER Thomas Hutter, seorang suami yang sangat mencintai isterinya, Ellen Hunter dibangunkan cukup kemas oleh Hoult.
Tak klise
Eggers selaku pengarah membuktikan bahawa dia sememangnya peminat dongengan puntianak paling tegar. Dari segala segi, kisah puntianak dicernakan dengan cukup sempurna. Kengerian, komersialisme, elemen bangsawan semuanya diadun sempurna.
Dari aspek ‘jumpscare’, Nosferatu memang sebuah filem yang membuatkan penonton tidak senang duduk. Kalau mempunyai masalah jantung, disarankan fikir dua kali jika mahu menonton filem ini.
Ada babak ‘gory’ puntianak menyiat leher manusia tanpa langsung rasa simpati. Urat-urat leher dikoyakkan dan divisualkan dengan penuh ngeri.
Bercakap tentang ‘jumpscare’, elemen tersebut diterjemahkan dengan baik. Tidak melampau dan pada masa sama tidak kurang. Itu satu pekerjaan yang bijak dilakukan pengarah.

Sinergi lakonan dua pelakon utama Nosferatu, Lily-Rose Depp dan Nicholas Hoult sangat meninggalkan kesan terhadap penonton.
Menyentuh soal terjemahan karakter, kesemua pelakon filem ini melunaskan tugasan masing-masing dengan jayanya.
Lily-Rose Depp sebagai Ellen Hutter paling menyerlah. Anak kepada Johnny Depp itu berjaya menghidupkan karakter wanita yang obses dengan makhluk atau puntianak bernama Nosferatu.
Pelakon lain, Skarsgard dan Corrin juga tidak menghampakan. Keseluruhan perjalanan cerita terhasil daripada kualiti terjemahan karakter boleh diibaratkan seperti larian berganti-ganti yang memecahkan rekod lumba lari jarak jauh.
Kalau ada dalam kalangan audiens mendambakan cerita puntianak berkelas olimpik, Nosferatu adalah pilihan dan jawapan.
Filem ini meletakkan satu lagi tanda aras tinggi untuk cerita-cerita sebegini difilemkan pada masa akan datang. Luar biasa! – HIBGLAM