Neelofa nafi sengaja tayang anak hafal al-Quran

USAHAWAN selebriti Neelofa menegaskan tiada niat untuk menunjuk-nunjuk kebolehan anak sulungnya, Muhammad Bilal membaca surah al-Fatihah seperti didakwa segelintir netizen.

Menurut Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd. Noor, 36, rakaman tersebut berlaku secara spontan ketika dia sedang berkongsi mengenai sebuah al-Quran yang dihadiahkan rakan selebriti, Betty Rahmad.

“Alhamdulillah, banyak komen negatif yang saya baca.

Saya tak pernah rancang untuk tunjuk anak boleh membaca atau menghafal al-Quran. Waktu itu saya hanya menjawab soalan pengikut mengenai al-Quran, tiba-tiba Bilal datang dan membaca sendiri,” jelasnya.

Bekas pengacara MeleTOP itu juga turut menasihati netizen supaya tidak mudah membuat kesimpulan selain perlu melihat sesuatu perkara dengan fikiran yang lebih terbuka.

Kalau saya betul-betul nak tunjuk Bilal dengan al-Quran, mungkin ramai yang menangis sebab tersentuh.

“Itu pun saya hanya kongsi dalam senarai rakan terdekat.

“Janganlah terlalu mudah menilai sesuatu secara negatif, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan. Apa pun, terima kasih atas perhatian,” jelasnya.

Sebelum ini, tular video pendek Neelofa sedang menjawab pertanyaan pengikut mengenai al-Quran, namun apa yang menarik perhatian adalah kebolehan Bilal membaca surah al-Fatihah dengan begitu lancar.

Walaupun ada pihak menuduh pelakon drama Suri Hati Mr Pilot itu sengaja mahu menunjuk-nunjuk, masih ramai memuji cara Neelofa mendidik anaknya.

Benda baik, tak salah untuk dikongsi. Semoga ramai ibu bapa terinspirasi dengan cara Neelofa membesarkan anak,” tulis seorang pengguna media sosial.

“Kalau niatnya baik, kenapa perlu pertikai? Saya sendiri sebak tengok video itu,” tambah seorang lagi netizen. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok