MH370: ‘Kami menangis tetapi tetap senyum kepada penumpang’ 

PENYANYI dan bekas pramugara MAS, Zarul Umbrella, sebak terkenang tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 pada 8 Mac 2014 yang memasuki tahun ke-11, beberapa hari lalu.

Zarul atau nama sebenarnya Zairulkefli Husin, 51, mengimbau kembali detik hitam ketika pesawat Boeing 777 tersebut hilang daripada radar selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju Beijing.

“Kami diuji dengan dua tragedi. Dalam kesedihan itu, kami jadi rapat.

Saya masih dalam perkhidmatan ketika itu. Kami menangis sebelum bertugas, tetapi tetap senyum kepada penumpang.

“Dua hari selepas itu, kami menangis di ‘briefing room’. Tak tahu apa jadi dengan rakan sekerja kami yang hilang,” katanya menerusi audio siar Borak Dalam Galley.

Meskipun berduka, pelantun lagu Ramalanku Benar Belaka itu berkata, dirinya tetap meneruskan tugas dengan senyuman, cuba menahan kesedihan yang membelenggu hati.

“Dalam situasi itu, kami tetap bertugas walaupun hati kami hancur. Tak dapat digambarkan betapa beratnya,” ujarnya.

Pada 8 Mac 2014, pesawat MH370 hilang dari radar dua jam selepas berlepas.

Pesawat itu membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, termasuk rakan sekerja Zarul.

Sehingga kini, bangkai pesawat tersebut masih belum ditemui walaupun operasi pencarian secara besar-besaran dilakukan di kawasan seluas jutaan kilometer persegi di selatan Lautan Hindi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok