DIA selayaknya berada dalam kelompok pelakon bertaraf ‘papan atas’. Penghayatannya bukan sekadar ‘diploma’ tetapi sudah mencapai tahap ‘sarjana’.
Keupayaan menzahirkan karakter membuatkan penonton terjerat dalam lautan emosi, hanyut dalam kepedihan yang dibawa.
Berilah apa sahaja karakter, pasti dibelasahnya cukup-cukup sehingga meninggalkan impak luar biasa malah sepenuh jiwa dituang ke dalam setiap naskhah, seolah-olah layar televisyen itu pentas kehidupan sebenar.
Tangisan bukan sekadar hiasan, tetapi ratapan jujur yang menggetarkan hati sesiapa sahaja yang menonton.
Itulah Puteri Balqis, anak seni yang pernah mencipta sejarah sebagai Pelakon Wanita Terbaik (Drama) Anugerah Televisyen Asia 2014 ketika berusia tujuh tahun.
Waktu bergulir, gadis berusia 18 tahun itu kini kembali dengan drama terbaharu berjudul Keluarga Itu arahan Nur Ain Sharif, Ejump Mohd dan Amor Rizan yang sarat kontroversi seawal dua minggu tayangan.
Menggalas watak Dhamiah, gadis yang memikul beban trauma bukan tugas mudah. Setiap babak menuntutnya bermain dengan emosi sehingga memberi kesan kepada fizikal dan mental.

KELUARGA Itu naskhah paling berat dijayakan Puteri Balqis dan menuntut permainan emosi yang bukan kepalang.
Dhamiah bukan hanya seorang anak yang memberontak tetapi jiwanya penuh dengan emosi dan air mata.
“Ini drama pertama saya yang menyebabkan rambut tumbuh uban selepas penggambaran. Tekanannya bukan kepalang kerana temanya terlalu berat.
Bayangkan, kalau menangis sekejap pun sudah penat, bagaimana pula kalau perlu menangis setiap hari selama tiga bulan? Setiap kali berada di set, saya perlu mencari sebab dan cara untuk menangis.
“Watak ini sangat kompleks hingga setelah selesai penggambaran, saya sendiri terkejut betapa mudahnya saya melepaskannya. Mungkin kerana terlalu penat, jiwa saya sendiri enggan terus mendukung beban itu,” katanya kepada HibGlam.
Tidak cukup dengan tekanan emosi, tubuh kecilnya juga turut teruji dan terpaksa setiap hari pulang ke rumah dengan lebam di badan demi memenuhi kehendak watak.
“Babak pertama penggambaran dalam episod tiga sewaktu Dhamiah bertemu Aman (Amir Ahnaf), saya sudah lebam-lebam.
Tidak pernah saya balik rumah dengan tubuh bersih. Pasti ada lebam sana sini.
“Babak menumbuk dinding pula menyebabkan tangan saya luka sehingga menimbulkan panik dalam kalangan kru dan pengarah,” kongsinya.
Menerusi drama tulisan skrip Erma Fatima itu, Balqis bergandingan dengan nama-nama besar seperti Datuk Rosyam Nor, Datin Seri Umie Aida, Izara Aishah, Fattah Amin dan Melissa Campbell.
Kisah berkisar kehidupan Iman (Rosyam Nor), tokoh Tahfiz yang dihormati.
Bersama isterinya, Chempaka (Umie Aida), mereka memiliki empat cahaya mata iaitu Ansara (Fattah Amin), Anwari (Muaz Zabir), Dhamiah (Puteri Balqis) dan Dhini (Duerra Miltilda).
Di sebalik nama yang dipandang tinggi, tersimpan rahsia hitam yang hanya menunggu masa untuk terbongkar. – HIBGLAM