KEWUJUDAN Garis Panduan Hak Cipta (Organisasi Pengurusan Kolektif 2025) yang diterbitkan dalam laman web rasmi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada 17 Januari lalu mengundang kebimbangan Music Authors’ Copyright Protection (MACP), Public Performance Malaysia (PPM) dan Recording Performers Malaysia (RPM) kerana didakwa diwujudkan tanpa konsultansi pihak mereka.
Melalui sebuah kenyataan bersama, organisasi terbabit mendakwa banyak peruntukan melebihi bidang kuasa dan bercanggah dengan undang-undang sehingga tidak wajar digunakan.
“Ketika sesi libat urus anjuran Bahagian Hak Cipta MyIPO bersama pengurusan organisasi pengurusan kolektif pada 12 Mac lalu, MACP, PPM dan RPM meluahkan pendirian bahawa garis panduan yang diterbitkan, dimuktamadkan secara unilateral tanpa konsultasi dengan kami.
Kebanyakan peruntukan dalam garis panduan adalah ‘ultra vires’ iaitu melampaui bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Hak Cipta 1987 dan bercanggah dengan undang-undang lain yang berkuat kuasa.
“Berikutan itu, kami berpendapat bahawa garis panduan itu tidak sewajarnya diterima pakai oleh kami,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Selain itu, ketiga-tiga pihak itu mendakwa pengenalan garis panduan tersebut akan memberi impak terhadap badan pengumpulan royalti secara kolektif atau Collective Management Organization (CMO) dan pemegang hak cipta.
“Kami berpendapat bahawa beberapa peruntukan garis panduan itu melampaui autonomi dan kebebasan CMO dalam menjalankan operasi utama iaitu melindungi kepentingan pemegang hak cipta.
Sebagai entiti yang bertanggungjawab melindungi pemegang hak cipta, kami berpendirian sebarang perubahan regulatori yang mengawal selia industri hak cipta perlu dibuat secara telus, adil dan melalui perbincangan menyeluruh bersama pihak berkepentingan.
“Langkah pengenalan garis panduan ini tanpa konsultasi yang mencukupi boleh memberikan impak negatif terhadap operasi CMO yang sedia ada serta hak pemegang hak cipta dan pemain utama dalam industri muzik Malaysia,” jelasnya.
Dalam masa sama, ketiga-tiga organisasi terbabit menggesa pihak berkuasa berbincang bagi memastikan sebarang perubahan peraturan tidak menjejaskan kepentingan industri muzik dan pemegang hak cipta.
“Kami menekankan bahawa sebarang perubahan yang memberi kesan kepada industri hak cipta perlu mengambil kira kehendak dan cabaran yang dihadapi pencipta, pemegang hak cipta dan pihak yang bergantung kepada sistem pengurusan hak cipta.
“CMO memainkan peranan penting dalam memastikan pemegang hak cipta menerima imbuhan yang sewajarnya atas hasil kerja kreatif mereka.
“Sebarang perubahan terhadap sistem ini perlu memastikan hak mereka terus dilindungi tanpa gangguan yang tidak perlu,” ujarnya. – HIBGLAM