‘Lega konflik selesai, hubungan dengan mama semakin baik’

PELAKON dan penyanyi, Nelissa Nizam beryukur kemelut anak-beranak yang berlaku antara dirinya dan ibu, Ayu Manaf pada Disember tahun lalu sudah berakhir.

Enggan berkongsi kisah peribadi dalam media sosial, Nelissa atau nama sebenarnya, Nelissa Edreena Nizam, 27, berharap tiada lagi pihak yang cuba memanjangkan lagi isu tersebut.

Sehari sebelum Ramadan, saya dan mama sudah bertemu di kediamannya. Memang niat nak selesaikan konflik yang timbul bersama keluarga secara privasi sahaja.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik dan rasa lega apabila kemelut ini sudah selesai.

“Harapnya perkara sebegini tidak diungkit lagi selepas ini,” katanya ditemui pada acara Fiziwoo’s Raya Collection – Iftar Soiree, semalam.

Dia mengakui perkara tersebut memberi pengajaran terbesar dalam hidupnya terutama apabila melibatkan keluarga.

“Satu benda yang saya belajar ialah tidak semua benda terjadi boleh dikawal.

“Namun, sahaja yang datang, saya anggap ia satu ujian.

Kalau isu ini membabitkan kawan, mungkin saya malas nak ambil peduli, tapi ini membabitkan ibu. Sekarang semuanya sudah selesai, hubungan saya dan keluarga semakin baik,” katanya lagi.

Ditanya sama ada namanya semakin dikenali disebabkan kemelut tersebut, Nelissa menegaskan tidak pernah walau sekali terfikir menggunakan kontroversi untuk popularkan diri.

Perancangan saya dan pihak pengurusan adalah mahu nama dikenali kerana bakat. Saya sendiri juga tiada niat untuk sengaja mencipta isu ini sebagai satu publisiti.

“Syukur kemelut ini tidak memberi kesan besar terhadap kerjaya seni,” ujar bekas anggota kumpulan The Gadys itu.

Terdahulu, Nelissa pernah mendakwa dirinya membesar dalam keluarga yang berantakan selain menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Namun, perkara tersebut disangkal ibunya selain menzahirkan rasa terkilan apabila anak-anaknya didakwa tidak menjenguk dan bertanya khabar yang mungkin berpunca disebabkan perkahwinan baharunya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok