Kru tergolek jatuh, rasa ada benda tarik – Namron

BERTUAH dipilih membintangi filem terbitan produksi Sabah berjudul Mantera, pelakon Nam Ron mengakui berlaku kejadian misteri membabitkan seorang kru sebelum memulakan babak akhir ketika penggambaran di Negeri Di Bawah Bayu itu.

Nam Ron atau nama sebenarnya Shahili Abdan, 55, berkata, petugas bahagian kreatif itu mendakwa seperti ditarik sesuatu ketika menebas kawasan di pinggir lereng sehingga terjatuh ke dalam gaung yang agak dalam.

“Dalam filem ini saya memegang watak Sarjan Ramli iaitu polis dari Semenanjung yang ditugaskan menyiasat kes di Tambunan.

Sebelum ini saya banyak berlakon banyak cerita hantu, siap gali lubang sebelah kubur dan baring di situ tetapi alhamdulillah belum pernah jumpa apa-apa.

“Cuma untuk filem ini, semasa penggambaran adegan akhir ada seorang kru tergolek jatuh ke bawah. Dia kata rasa macam ada benda tarik,” katanya kepada HibGlam.

Menurut aktor tersebut, filem arahan Chester Pang itu menyingkap tradisi amalan bomoh yang dipanggil Bobolian dalam masyarakat kaum Dusun di Sabah sekali gus sarat elemen ritual.

Katanya, unsur budaya dan etnik yang ditampilkan dalam Mantera merupakan keunikan dan meletakkan naskhah daripada kisah benar itu sebagai filem seram yang berbeza.

“Filem tentang bomoh dari Semenanjung kebanyakannya menampilkan kaedah rawatan Islam serta sesuatu amalan yang kita biasa tengok.

Berbeza dengan masyarakat Dusun, mereka mempercayai animisme dan mengamalkan mantera yang digunakan untuk upacara tertentu.

“Begitupun, watak saya tidak melibatkan sebarang ritual sekali gus tidak mungkin mencetuskan isu berkaitan akidah,” ujarnya.

Bakal ditayangkan di pawagam bermula 24 April, filem tersebut turut dibintangi Syafie Naswip selain pelakon kelahiran Sabah iaitu Jovenia Jim, Wedylin Batala serta Larry Noh.

Mantera berkisar mengenai Tana yang memiliki kemahiran sebagai Bobolian atau bomoh yang kemudian diekori roh jahat berkaitan nenek moyangnya dahulu, Ondiya.

Berlaku satu insiden, dua anggota polis Sarjan Ramli dan Inspektor Zafri lakonan Syafie ditugaskan untuk menyiasat kejadian di perkampungan di Tambunan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok