DUNIA perfileman tempatan terus meriah dengan penghasilan karya baharu, namun satu genre yang tidak pernah suram dalam kalangan penonton adalah seram.
Misteri, ketegangan dan unsur mistik sering kali menjadi daya tarikan utama, mencetuskan adrenalin yang menggetarkan jiwa.
Menangkap gelombang populariti tersebut, syarikat Golden Star Pictures Sdn. Bhd. (GSPSB) tampil berani mempersembahkan Polong, sebuah naskhah seram yang bukan sekadar mahu menggamit jeritan di pawagam tempatan, malah bercita-cita menembusi pasaran antarabangsa.
Seram beridentiti Malaysia
Bawah sentuhan pengarah berkaliber, Zulkarnain Azhar, Polong dijanjikan sebagai sebuah naratif yang sarat dengan elemen tempatan tanpa menciplak acuan Hollywood atau Korea Selatan.
“Saya nak janjikan kelainan kerana filem seram tempatan banyak mengambil inspirasi dari luar. Tapi untuk Polong, saya nak terapkan budaya, tradisi serta kisah rakyat yang sepatutnya diketengahkan dalam filem kita.
Polong diinspirasikan daripada kisah benar yang berlaku sekitar tahun 1990-an. Mengisahkan tentang seorang bomoh terkenal yang menghadapi hukuman gantung, tetapi fokus cerita ini lebih kepada hari-hari terakhirnya sebelum hukuman dilaksanakan,” katanya kepada HibGlam.
Lebih hebat, pengarah yang sebelum ini berjaya mengemudi filem box-office seperti J Revolusi, Air Force The Movie: Selagi Bernyawa dan Takluk itu turut memasang impian besar ingin melihat garapannya terbang tinggi di negara orang.
Saya mahu melihat filem Melayu berdiri gah di pentas dunia. Setakat ini, kebanyakan filem seram tempatan hanya kuat di peringkat domestik.
“Jadi, impian saya adalah melihat Polong menembusi persada antarabangsa,” luahnya.

Sutradara Zulkarnain Azhar berkata, Polong diinspirasikan daripada kisah benar seorang bomoh terkenal yang dijatuhkan hukuman gantung sekitar era 1990-an.
Filem yang bakal menjalani penggambaran pada Mei itu nanti membariskan pelakon hebat seperti Nam Ron, Nadiya Nisaa, June Lojong, Fad Anuar dan Mimi Lana, menjanjikan lakonan mantap yang bakal menghidupkan kisah mistik ini.
Terjah pasaran global
Penerbit eksekutif GSPSB, Onn Norshal Hamzah, optimis dengan potensi Polong untuk menembusi pasaran global, biarpun tanpa memerlukan bajet yang besar.
Menjadikan filem Roh sebagai penanda aras, beliau percaya Polong mampu mencipta fenomena serupa.
Filem Roh hanya berbajet RM300,000 tetapi berjaya pergi jauh hingga ke luar negara. Jadi, bagi saya bajet RM2.5 juta untuk Polong sudah cukup berdasarkan jalan cerita yang kukuh.
“Filem Thailand pun tak perlukan bajet besar, tapi mereka boleh pergi jauh.
Saya sendiri pernah terbabit sebagai panel filem di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), jadi saya tahu bagaimana sesebuah filem boleh berjaya menembusi pasaran luar.
“Setakat ini, 16 pawagam di Kemboja sudah mengesahkan untuk menayangkan Polong di sana. Apa yang penting, kena tahu saluran yang betul,” ujarnya.
Mengangkat elemen mistik Melayu, Polong mengisahkan Maria Hadi, seorang wanita yang bergelumang dengan ilmu hitam sepanjang hayatnya tetapi cuba mencari keampunan di ambang kematian.
Namun, rahsia besar dalam hidupnya tidak semudah itu dilepaskan, polong peliharaannya perlu diwariskan sebelum ajal menjemput.
Malangnya, polong tersebut jatuh ke tangan yang salah dan mula menuntut darah serta membalas dendam selepas kematian Maria.
Sumpahan laknat akhirnya menghantui pewarisnya yang tidak bersalah.
Filem terbabit pada masa ini turut mendapat sokongan daripada 10 Star Cinemas Sdn. Bhd. sebagai pengedar dan agen pasaran. – HIBGLAM