‘Kena gilir-gilir, tak adil kalau asyik belah suami sahaja’

PENYANYI Nabila Razali meminta orang ramai tidak melemparkan stereotaip negatif terhadap mana-mana individu yang mengikut pasangan mereka pulang beraya di negeri tertentu khususnya Kelantan.

Menurut Nabila, 32, hak untuk menyambut Syawal di mana-mana negeri adalah pilihan sendiri dan tidak seharusnya dipandang negatif.

“Baru-baru ini, saya ada muat naik video bertanya kepada suami nak balik beraya mana.

“Namun, hantaran tersebut mendapat perhatian dan ramai yang komen sehingga bergaduh. Ada yang cakap kena gilir-gilir, tak adil kalau asyik belah suami sahaja.

“Kemudian ada juga yang mula kongsi pengalaman beraya dengan pasangan dari negeri Kelantan dan memang akan sentiasa di sana sahaja,” katanya dalam sebuah video baru-baru ini.

Bercerita lanjut, pelantun lagu Raya Di Mana itu menegaskan dia sendiri tidak kisah meyambut raya di mana pun selagi tidak berjauhan dari suami tercinta.

Jelasnya, perbalahan dalam kalangan netizen mengenai isu kenegerian disebabkab video tersebut juga perlu dihentikan selain meminta tidak terus melemparkan pandangan negatif terhadap individu asal Kelantan.

“Sebenarnya perkara itu ikut hak masing-masing. Macam saya, cukuplah beraya di sisi suami tercinta.

“Tapi, saya nak selit juga, kalian janganlah stereotaipkan orang itu bersifat tertentu mengikut asal usul negerinya. Tak semestinya mereka begitu.

“Ini semua sebenarnya bergantung kepada individu itu sendiri dan atas keinginan masing-masing.

“Jangan kaitkan dengan mana-mana negeri. Yang penting jangan gaduh dan negatif dalam ruangan komen okey,” ujarnya.

Terdahulu, Nabila memuat baik sebuah video yang memaparkan dia bertanya kepada suami, Nik Iruwan Nik Izani mengenai bakal menyambut hari raya di mana.

Meski Nik Iruwan tidak menyebut mana-mana negeri, netizen membuat andaian Nabila sekali lagi akan menyambut raya pertama di Kelantan seperti tahun lalu.

Perkara itu seterusnya mengundang pelbagai komen negatif seperti mendakwa individu asal Kelantan tidak akan memberi peluang kepada pasangan untuk meraikan hari lebaran di negeri lain.

Terdahulu, Nabila dan Nik Iruwan, 40, melangsungkan perkahwinan pada 18 November 2023. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang anak lelaki pada 23 Disember lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok