Kembali erat, Shila Amzah berbuka puasa dengan ibu

HUBUNGAN kembali erat, selepas memperuntukkan masa dengan bapa, penyanyi Shila Amzah menikmati momen berbuka puasa dengan ibunya, Fauziah Sarman.

Ditemani suaminya, Ubai, pemilik nama lengkap Nurshahila Amir Amzah, 34, itu berkongsi foto bersama insan kesayangan menikmati juadah berbuka di sebuah restoran.

‘Date’ (temu janji) dengan mak pula, bukber (buka puasa) dulu,” tulisnya pada kapsyen foto dikongsikan dalam Insta Story.

Sekali gus, situasi tersebut menunjukkan ikatan keluarga terbabit semakin utuh selepas melalui kemelut dalaman sekitar dua tahun lalu.

Sebelum ini, Shila dan ibunya dikatakan sudah berbaik selepas Fauziah hadir pada majlis akikah anak kedua Shila iaitu, Rhea Akira yang diadakan pada Oktober 2024.

Krisis antara mereka tercetus apabila hasrat Shila mahu menjual rumah banglo miliknya ditentang keluarga.

Konfrontasi tersebut menjadi buah mulut ramai apabila adik-beradiknya membuka mulut menjadikan isu berpanjangan sehingga masing-masing kemudian tidak bertegur sapa.

Pada masa sama, hubungan Shila dengan bapanya, Datuk ND Lala, 63, juga tegang apabila insan dihormati itu berkahwin secara rahsia dengan seorang wanita yang juga rakan sekolahnya.

Perkahwinan ibu bapanya yang dibina pada tahun 1989 berakhir pada 2 Ogos 2023. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok