BAGAI belangkas. Itu gelagat Riena Diana bersama kekasihnya, Keith Foo yang tidak boleh dipisahkan lagi sejak berputiknya cinta dari lokasi drama Salju Rindu Di Bumi Aucland pada Jun tahun lalu.
Menurut Riena, Keith atau nama sebenarnya, Foo Chuan Chi, 42, tidak hanya penenang hati, bahkan ketenangan dan kemanjaan lelaki itu mengubah dirinya menjadi wanita lebih sempurna.
Saya jenis tidak penyabar, namun Keith yang sentiasa menenangkan saya dan beri solusi andai berlaku sesuatu isu, dia buat saya tiba-tiba ‘sejuk’.
“Dia banyak bantu saya dari segi lakonan. Kebiasaannya apabila dapat tawaran saya rujuk kepadanya terutama mengenai watak dan karakter. Kiranya Keith mentor saya.
“Dari segi imej pula, sebagai individu berpengalaman dalam arena peragaan dan komersial, dia turut memberi nasihat berkaitan fesyen. Macam sesi (fotografi), Keith banyak bantu soal gaya di depan kamera,” katanya kepada HibGlam.

SEDAR harapan peminat yang mahu melihat percin taan bersama Keith ke jenjang pelamin, Riena memberi bayangan sedang menuju ke arah itu, namun bukan tahun ini
Berseri-seri sejak dilamun cinta, Riena atau nama lengkapnya Nur Qamarina Diana Zulreal, 28, mengakui Keith yang berpengalaman hampir dua dekad banyak mengajarnya soal profesionalisme dalam pekerjaan.
Bukti paling dekat, Riena kini mempunyai pembantu peribadi bagi melancarkan aktivi seni selain ada pemandu untuk ke sesebuah acara.
“Orang nampak kami kerap berdua, hakikatnya banyak membabitkan urusan kerja kerana Keith risau apabila semua hal berkaitan kerja saya buat sendiri.
Dia banyak bantu, sampai nampak macam ‘bodyguard’, dan secara perlahan-lahan Keith sediakan pembantu peribadi dan pemandu untuk melancarkan urusan saya pada hari sibuk.
“Walaupun saya nampak dominan sebenarnya saya mendengar saranan Keith terutama berkaitan kerjaya kerana dia seorang yang berpengalaman luas dan sangat profesional,” ujarnya.
Kahwin bukan tahun ini
Dibatasi beza agama selain berjarak usia 14 tahun bukan isu buat Riena dan Keith untuk saling melengkapi dan menerima segala kekurangan mahupun kelebihan antara satu sama lain.
Riena turut menyedari ramai tertanya-tanya sama ada mereka bakal disatukan dalam tempoh terdekat memandangkan sehingga saat ini kekasihnya itu belum memeluk Islam.
Cuma kata aktres itu, agama Islam bukan sesuatu yang asing buat lelaki berdarah kacukan Cina dan India itu kerana ada dalam kalangan adik-beradik Keith juga berkahwin campur.
“Doakan yang baik-baik, masanya (kahwin) akan tiba tetapi bukan tahun ini.
“Dia memang dalam fasa mendekati Islam sejak sebelum rapat dengan saya lagi dan kini banyak belajar dan mendengar ceramah tentang Islam.
Kalau berkunjung ke rumah keluarganya pun ada ramai ipar duai Keith yang beragama Islam bahkan orang tuanya juga akan tanya jika masuk waktu solat.
“Saya nampak dia turut bersemangat untuk belajar. Macam sebelum ini, kadangkala dia yang bawa saya ke masjid dan sanggup tunggu saya selesai sembahyang.
Subuh pun Keith yang jadi ‘alarm clock’ hubungi saya untuk kejutkan bangun solat,” tambahnya.
Riena jual nasi ayam
Tidak hairan kongsi Riena, Keith turut bertanyakan mengenai persediaan Ramadan yang ibaratnya sudah berada di depan pintu rumah kita semua.

JIKA ada kelapangan, Riena mahu turun membantu bapanya menjual nasi ayam di sebuah warung di Gombak sepanjang Ramadan ini.
Akui pelakon asal Petaling Jaya, Selangor itu, puasa tahun ini merupakan tempoh untuknya berehat seketika daripada mengambil tawaran berlakon demi meluangkan masa dan menunaikan ibadah bersama keluarga.
Ketika awal terjun ke dunia lakonan hampir sembilan tahun lalu saya sambar semua tawaran, termasuk ketika Ramadan sehinggakan nenek saya hairan kenapa saya kerja tidak seperti orang lain.
“Jadi, tahun ini biarlah saya penuhi masa bersahur dan berbuka di rumah dengan keluarga selain sama-sama solat tarawih dengan mereka.
Keith pun teruja menunggu untuk sama-sama berpuasa. Selain mendidik kita lebih banyak bersabar, bulan penuh rahmat ini turut mengajar kita mensyukuri nikmat diberikan-Nya,” ujar Riena lagi.
Cerita bintang Kampung People itu juga, Ramadan tahun ini dia akan meluangkan masa membantu bapanya berniaga nasi ayam hainan di sebuah warung yang beroperasi di Gombak, Selangor.
Saya dibesarkan dalam keluarga yang berniaga makanan dan pandai masak sejak usia sembilan tahun.
“Dahulu waktu masih sekolah, saya kerap tolong ayah berniaga di bazar tiap kali Ramadan.
Ayah saya OKU (orang kelainan upaya), tapi tetap semangat berniaga. Cuma selepas dia jatuh longkang ketika berniaga, ayah hanya berniaga di warung sahaja sampailah sekarang.
“Kalau saya tidak ke lokasi penggambaran, saya akan tolong di kedai. Sesekali puasa nanti saya akan datang bantu ayah.
“Saya tak kisah, tak malu pun sebab hasil keringatnya yang besarkan saya dan adik-adik,” katanya menutup bicara. – HIBGLAM