TETAP dengan kegilaan ramai terhadap kejelitaan dan ketampanan seseorang pelakon, pelakon Dynas Mokhtar bagaimanapun menaruh harapan agar para karyawan sinema tanah air akan membuka peluang kepada penggiat seni dengan bakat sejati bagi menggalas sesuatu watak berbanding hanya mengejar selebriti bersandarkan paras rupa dan populariti.
Dynas atau nama sebenar, Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar, 42, berkata, paras rupa sahaja tanpa penjiwaan hanya akan mendatangkan risiko terhadap keseluruhan naskhah biarpun mempunyai skrip yang bagus.
Jenis pelakon
“Pelakon ada macam-macam jenis tetapi kegilaan khalayak selalunya kepada pelakon cantik dan kacak. Kalau dapat hero, heroin ‘buruk’ mereka akan kata tiada ‘feel’ nak tengok.
“Tapi sebenarnya patut tengok lakonan dan bagaimana seseorang itu menjiwai watak. Kena lihat bagaimana dia bawa watak, sekali gus menghidupkan sesebuah cerita.
Bukan beri watak hero kerana rupa atau faktor tular dalam media sosial, namun lakonan biasa sahaja. Suruh menangis pun tak boleh sedangkan skrip bagus. Kalau dapat kepada orang yang pandai berlakon lagi ‘best’,” katanya ketika ditemui pada majlis kesyukuran sempena tamat penggambaran filem Impak Maksima 2, baru-baru ini.
Sedar dirinya juga pernah bergelar pendatang baharu, Dynas berkata, setiap anak seni wajar diberi peluang untuk memperbaiki kekurangan.
Dynas yang bermula sebagai model sebelum ke lapangan lakonan pada 2002 mengakui banyak belajar dan menimba ilmu daripada pelakon senior bagi memperbaiki mutu lakonan.
“Ramai model bergelar pelakon, tapi persoalannya sama ada mereka boleh berlakon atau tidak.
Memang ambil masa sebab pada awal pembabitan dalam bidang lakonan, saya juga ‘kayu’ kerana bermula daripada bidang peragaan, saya pun bukan anak teater.
“Namun, saya banyak belajar ilmu lakonan dengan orang lama. Saya berlakon teater dan belajar teknik lontaran suara serta sebagainya untuk menjadi pelakon yang baik,” ujarnya.
Tidak hanya berlakon, selebriti yang turut aktif dalam pengacaraan itu menyifatkan seseorang pelakon mempunyai tanggungjawab menjiwai setiap watak diberikan dengan sebaik mungkin.
“Watak bukan sahaja nak nampak cantik, tetapi perlu dihidupkan, sama ada watak orang kurang upaya, wajah buruk, sebelah muka terbakar atau sebagainya.
Watak emak
“Kalau hendak sentiasa nampak cantik dalam lakonan, lebih baik berlakon buat iklan komersial. Saya pun tak kisah bawa watak emak orang atau wanita psiko yang tak terurus,” katanya.
Mengenai watak dalam filem Impak Maksina 2, Dynas kembali membawakan karakter pegawai kanan polis, Asisten Superintendan (ASP) Maria selepas 18 tahun dalam Impak Maksima versi pertama diterbitkan.
Saya sangka Ahmad Idham hanya bergurau apabila menyatakan bakal memulakan penggambaran sekuel filem itu. Beberapa tahun lalu, dia pernah menyuarakan hasrat sama.
Berkisarkan dunia drift yang menelan kos sebanyak RM3 juta, Impak Maksima 2 dijadualkan tayangan pada Julai depan.
Filem terbitan Screen Studio tersebut turut membariskan lakonan hebat, Datuk Seri Eizlan Yusof, Arfie Shah, Nelissa Nizam, Muhsin Nadzli, Fad Bocey dan Zul Huzaimy.