KREDIBILITI dipertikai, penyanyi dan usahawan Ifa Raziah menyifatkan pihak yang memandang rendah kemampuannya menganjurkan acara mega gentar dengan persaingan.
Justeru itu, Ifa atau nama sebenarnya, Saripah Raziah Mustapha enggan ambil pusing kata-kata negatif yang dilemparkan syarikat kepadanya.
“Saya tahu masih ada orang yang mempersoalkan sama ada saya mampu menganjurkan acara festival mega.
Ikutkan saya sudah lama menjadi penganjur acara malah sehingga sekarang masih kekal bertahan menganjurkan festival yang sudah memasuki edisi ke-16 ini.
“Pihak terbabit pun tahu saya berani mencuba dan suka bersaing secara sihat. Kata-kata negatif sebegitu tak jadi kudis buat saya,” katanya selepas majlis iftar Starvendors KL Mega Raya, baru-baru ini.
Menurut pengasas Starvendors itu, sikap skeptikal terhadapnya hanya disuarakan individu tertentu yang takut kepada bayang-bayang sendiri.
“Saya tak risau banyak festival jualan bakal berlangsung sepanjang Ramadan kerana ia merancakkan ekonomi negara.
Paling penting vendor mempercayai kredibiliti syarikat saya dan jenama Starvendors, begitu juga pelanggan yang datang mendapatkan keperluan Syawal di bawah satu bumbung.
“Cuma masalah sekarang adalah terlalu banyak acara pada tarikh sama tetapi tiada vendor. Ada juga yang baru nak jadi penganjur tapi aspek pemasaran, produk dan jenama mereka tak cukup kuat,” ujarnya.
Pernah berkampung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), edisi yang mensasarkan 800,000 pengunjung itu akan berlangsung selama 80 jam tanpa henti dari 20 hingga 24 Mac di KL Base, Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Acara ini bakal dimeriahkan dengan penyertaan kira-kira 50 selebriti termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Fizz Fairuz, Datuk Afdlin Shauki, Noraniza Idris dan Cha Cha Maembong. – HIBGLAM