Meraikan Syawal dengan cara tersendiri, pelakon Puteri Balqis mendedahkan menyambut hari raya bersama golongan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur sejak beberapa tahun lalu.
Menurutnya yang mesra disapa sebagai Aqish, 17, rutin tersebut membuka matanya tentang kehidupan individu lain kerana berpeluang menyelami isi hati golongan tersebut.
Kadang-kadang kami akan beraya dengan golongan gelandangan di sekitar ibu negara. Sambutan raya kami bukan seperti orang lain sangat, kami lebih kepada pengalaman sebegitu.
“Kami akan berbual sebab mereka seperti tiada tempat untuk bercerita. Banyak cerita yang saya dapat seperti kena buang keluarga, sudah kahwin tetapi berakhir di situ.
“Apabila saya bercakap dengan mereka, seperti tidak percaya kerana tidak menyangka kehidupan mereka sebelum ini iaitu seorang anak, suami dan isteri tetapi jadi begitu,” katanya kepada HibGlam pada Meet & Greet Drama Sangat TV3 di sini, baru-baru ini.
Tambah bintang drama Keluarga Itu, dia sendiri sukar untuk berkongsi perasaan sepanjang melalui pengalaman tersebut kerana dianggap sesuatu yang luar biasa.
“Setiap kali dengar cerita mereka, ada sesuatu yang kita sendiri tak boleh nak jelaskan perasaan itu.
“Aktiviti itu sudah saya lakukan sejak beberapa tahun cuma tak ingat bermula bila.
Saya tiada waktu yang spesifik melawat mereka. Adakalanya saya bangun tidur, tonton netflix, makan dan pergi ke sana,” jelasnya.
Berkongsi tentang persiapan Syawal, dia berkata semuanya dilakukan secara sederhana dan hanya meraikan hari raya bersama ibu tersayang. Meski begitu, dia tidak pernah berasa iri hati melihat cara individu lain meraikan haru lebaran.
“Persiapan raya saya biasa sahaja. Saya setiap kali raya antara satu helai (baju kurung) atau baju-t dengan jeans sahaja.
Saya hanya beraya di Kuala Lumpur dan raya itu seperti hari biasa serta hanya disambut dengan mummy sahaja.
“Saya tak cemburu melihat cara orang lain meraikan Syawal mereka. Kami meriah dengan cara sendiri,” katanya yang sangat menyukai juadah raya air tangan ibunya iaitu ayam masak merah. – HIBGLAM