SELAMA 11 tahun hidup solo, jelitawan dengan jolokan Primadona Filem Melayu Alaf Baharu, Erra Fazira kembali memanas dengan kisah hati yang semakin terisi dek kehadiran lelaki bernama Ezwan Zain atau Mr. E.
Ezwan sendiri memberi bayangan mahu membawa perhubungan mereka ke fasa lebih serius.
Seperti bait lagu berbunyi ‘hanya di mata pasti, penuh dengan cerita, hanya di mata kini, dapat satu petanda’ biarpun tanpa pengesahan, melihat cara komunikasi, bahasa tubuh dan aura di wajahnya, jelas ada kebahagiaan sedang berbunga di taman jiwa pemilik nama lengkap Fazira Wan Chek.
Sempat bertemu mata dengannya, selebriti 51 tahun itu tetap berhemat memilih kata-kata. Semahunya, apa yang sedang dirasai disimpan kemas tanpa dikongsikan dengan khalayak.

BUKAN soal menjaga hati mana-mana pihak, Erra hanya mahu menikmati momen ‘indah’ ketika ini dan me nunggu waktu tepat untuk benar-benar nekad sekali lagi masuk ke alam perkahwinan. – Lokasi (KUEH, SETIA ALAM)
Masih tiada hitam putih yang disahkan kepastian, namun lenturan bicara sudah cukup menandakan mereka diulit cinta.
“Saya berada di fasa di mana kami cuba menuju ke laluan tepat tanpa sebarang tekanan. Mungkin sebab saya sudah lama melalui zaman solo, sama juga macam dia. Kami ada laluan dan frekuensi sama.
Saya cuma mahu menikmati setiap momen yang dilalui. Nak cakap sedang dilamun cinta pun takut. Bukan soal jaga hati tetapi ada 1,001 persoalan.
“Kalau saya iyakan tetapi saya tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Saya jalani sahaja apa ada,” katanya membuka bicara.
Berkongsi lanjut, pelantun lagu Pertemuan itu tidak menolak sekiranya kembali bergelar isteri andai semuanya dipermudah.
“Jika keluarga okey, apa salahnya kita jalankan (perkahwinan). Saya pun tiada masalah.
Semuanya hanya melalui hati, kalau sudah bersedia nak pergi (kahwin), jom jumpa keluarga. Tindakan tersebut lebih matang.
“Lama saya raya sendiri jadi kalau orang doa untuk tahun hadapan tidak bersendirian, saya okey,” tuturnya.

ERRA dan Ezwan kelihatan malu-malu saat gerak-geri mereka dirakam ketika sama-sama berbuka puasa baru-baru ini.
Ditanya sama mahu bertunang atau terus ke jenjang pelamin, pada usia sekarang, ibu tunggal anak satu itu hanya mahu melakukan perkara wajib walaupun belum pernah membincangkan topik berkenaan dengan Ezwan.
“Bagi saya bukan masa untuk bertunang lagi dah. Tiada kepentingan.
Dahulu masa muda bolehlah nak ‘lock’ dulu, sekarang saya nak buat benda wajib sahaja. Sebolehnya ada ziarah-menziarah (keluarga Mr.E). Raya pertama mestilah kami raya kampung masing-masing dulu,” katanya bercanda.
Sepanjang perbualan, Erra juga sempat memberitahu anak tunggalnya, Engku Aleesya dilihat terbuka menerima kehadiran Ezwan yang turut memiliki seorang cahaya mata perempuan sebaya Aleeysa.
Kenangan istimewa
Menukar gelanggang perbualan, Erra sempat bercerita momen raya yang tidak pernah luput daripada ingatannya.
Kalau setiap kali raya, pasti saya akan teringat momen makan mi segera sebab tiada rasa mahu beraya tahun itu memandangkan masalah rumah tangga yang tidak berkesudahan. Situasi itu berlaku pada 2006.
“Pada zaman perkahwinan pertama, memang saya tidak keluar rumah sebab bimbang ditanya soalan mana suami,” ujarnya.

ERRA menamakan 2006 sebagai tahun memori raya paling gelap, dia tidak melakukan sebarang persediaan kerana sedang bergelut masalah perkahwinan.
Dalam masa sama, dia juga mengakui ahli keluarga juga tidak mengetahui masalah rumah tangganya yang sudah hancur sehingga membuat keputusan untuk tidak beraya.
Waktu itu, mak pun tidak tahu sebab saya bila ada masalah, saya suka diamkan diri, apabila sudah kronik baru orang tahu.
“Bila dah pandai saya akan buat persiapan beli apa yang patut. Sebelum itu tidak sediakan apa-apa sebab terlalu kusut,” kongsinya.
Selain momen tersebut, dia juga teringat sebuah lagi kenangan tentang seorang peminat fanatiknya yang sering ke kampungnya pada hari raya hanya untuk beraya.
“Saya kan tinggal di KL dan cuma 45 minit untuk balik kampung. Kadang saya mahu balik pagi atau petang raya tetapi ada seorang peminat yang memang suka datang ke kampung saya.
Sampai nenek telefon saya suruh balik cepat. Itu antara kenangan juga yang paling tidak boleh lupakan.
“Dia dari Pahang dan naik motor sahaja. Setiap tahun dia tidak pernah terlepas untuk datang kampung saya. Dia sanggup tunggu dari pagi sampai ke malam,” tutupnya. – HIBGLAM