Jadi seorang isteri sangat menyeronokkan – Wanna Ali

BERGELAR seorang isteri pastinya impian buat semua para wanita dan kini perkara terindah tersebut sudah menjadi realiti buat pelakon, Wanna Ali.

Masih dalam fasa membiasakan diri dengan status baru, Wanna atau nama penuhnya Nor Syazwana Ali mengakui mengecap puncak bahagia saat berada di sisi suami tercinta, Khairil Amri Khalid.

Seronok bercerita, namun dalam satu sisi berbeza, dia enggan terlalu berkongsi mengenai kehidupan peribadi atau kebahagiaan dalam media sosial kerana berasakan usia perkahwinannya masih terlalu mentah.

Alhamdulillah jadi isteri seronok sangat. Sebenarnya saya tak tahu dan enggan kongsi terlalu banyak sebab masih baru.

“Tetapi, saya rasa sesiapa yang baru berkahwin pun akan rasakan perkara sama iaitu gembira dan bahagia,” katanya kepada HibGlam pada sidang media kempen Ramadan Raya (RaRa) 2025 Indahkan Memori Media Prima baru-baru ini.

Diusik perbezaan kehidupannya selepas bergelar isteri, Wanna berkata, paling dirasai pastinya tidak lagi sebumbung dengan ibu tercinta yang juga penerbit, Datuk Ayu Puteh.

“Sangat berbeza kehidupan sekarang, hampir semua benda perlu minta izin suami tapi saya okey sahaja sebab dia sangat memahami dan kehidupan kami ‘chill’ sahaja.

Selain itu, sekarang sudah duduk rumah suami. Sebelum ini selama 27 tahun dengan ibu, rasa sangat beza sebab tiada keluarga terutama adik-beradik di sisi,” katanya lagi

Menurut Wanna, ibunya turut mengakui berasa sedih apabila perlu hidup berasingan dengan anak perempuan yang dijaga bagai menatang minyak yang penuh selama 27 tahun. 

“Selalunya golongan mak-mak akan bising kalau anak dia belum berkahwin pada usia 27 tahun tetapi selepas dah kahwin, dia pula yang sedih. 

“Itu yang berlaku pada mak saya juga. Saya faham sebab kami berdua sangat rapat, jadi memang rasa beza tak tinggal bersama dengan keluarga,” ujarnya.

WANNA dan Khairil Amri mendirikan rumah tangga pada  9 Februari lalu.

Menjawab pertanyaan wajib tentang persediaannya untuk menimang cahaya mata, Wanna memberitahu, dia dan suami sudah bersedia dengan perkara tersebut.

“Saya bersedia untuk miliki cahaya mata dalam tempoh terdekat. Sebenarnya saya memang sasar nak timang anak sebelum usia 30 tahun, suami pun sedia nak jadi ayah. 

Saya rasa, ini umur yang tepat untuk ada anak sebab bila sudah menginjak ke usia lebih tua, ada orang membantu kita.

“Kawan-kawan sekeliling pun banyak berkongsi tips kalau tentang persediaan nak jadi ibu bapa, insya-Allah kalau tiada halangan,” jelasnya.

Bukan Sekadar Lafaz 2

Bercerita tentang kerjaya seni, Wanna kini muncul menerusi drama Bukan Sekadar Lafaz 2 (BSL2) yang sudah mula ditayang menerusi slot Akasia sejak 27 Februari lalu.

Ujar Wanna, BSL2 menghidangkan jalan cerita yang mampu menyesakkan jiwa penonton berbanding musim pertama.

“Harap musim yang kedua ini mampu mengulang kembali fenomena edisi pertama.

Drama ini sangat memberi tekanan dan akan beri emosi ‘gila’ buat penonton,  ditambah pula ditayangkan pada Ramadan dan waktu buka puasa, memang memerlukan tahap kesabaran tinggi.

“Musim kedua jauh lebih menarik sebab jalan ceritanya akan banyak plot twist,” ujarnya.

Akuinya, watak Syikin dalam BSL2 lebih mencabar kemampuannya sebagai pelakon kerana memerlukan lebih banyak ‘kerahan’ emosi.

“Watak saya lebih mencabar sebab banyak emosi dan benda itu sangat penat.

“Saya harap rasa letih itu berbaloi.” tuturnya.

Selain Wanna, BLS2 juga turut dibintangi barisan pelakon hebat lain seperti Alif Satar, Isyariana, Kuza, Ahmad Idham, Wanns Ahmad dan Mia Nasir.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok