Isu hutang, Noraniza masih buka pintu rundingan

MAHU menyelesaikan isu perniagaan di luar mahkamah, penyanyi Noraniza Idris masih membuka pintu rundingan kepada pihak akademi latihan keusahawanan yang didakwa menganiayanya untuk datang berbincang.

Noraniza berkata, dia berharap dapat mencari kata sepakat dengan pihak terbabit bagi menyelesaikan hal bayaran dijanjikan yang sudah tertangguh sejak Mei tahun lalu.

“Kita sesama Melayu dan beragama Islam, jangan menyusahkan orang kerana kita sama-sama nak bina kehidupan. Jadi kalau boleh biarlah kes ini diselesaikan secara baik.

“Saya dalam keadaan susah sekarang untuk pulihkan semula bisnes yang baru beroperasi setahun. Harapnya mereka dapat bagi kerjasama, malah saya juga sedia berunding lagi dengan pihak terbabit.

“Mereka berjanji memulangkan semula bayaran mengikut jadual seperti dalam kontrak sebanyak RM5,000 seminggu dengan jumlah keseluruhan mencecah RM200,000. Tapi selepas ditolak produk percubaan, jumlah perlu dijelaskannya tidak sampai RM100,000,” katanya ketika ditemui HibGlam pada majlis buka puasa Starvendors Mega Raya, semalam.

Menurutnya yang juga pengusaha makanan ringan, berikutan masalah tersebut dia pernah lewat membuat pembayaran gaji pekerjanya selama sebulan.

Malah dia juga membuat keputusan sukar apabila terpaksa merehatkan dahulu 20 orang pekerja disebabkan tidak mampu membayar gaji mereka.

“Memang ada gaji pekerja yang terlewat bayar dalam sebulan gaji. Alhamdulillah mereka faham dan syarikat juga terpaksa merehatkan pekerja kerana tidak dapat membayar gaji sekitar RM30,000 ke RM40,000.

“Apapun pihak kami tetap memenuhi tanggungjawab selain berusaha menyelesaikan hal ini sedikit demi sedikit termasuk mengeluarkan simpanan peribadi serta menggunakan hasil persembahan pentas, ” ujarnya.

Pada masa sama, Noraniza turut menggandakan usaha menjual produk makanan ringannya secara online selain menyertai festival makanan termasuk Starvendors Mega Raya.

“Kami akan buka booth jualan bersama Starvendors di KL Base Lapangan Terbang TUDM, Sungai Besi pada 20 hingga 24 Mac ini untuk terus menjana pendapatan,” katanya.

Terdahulu, pada 4 Mac lalu Noraniza membuat laporan polis terhadap sebuah akademi latihan keusahawanan dengan mendakwa dirinya menjadi mangsa penganiayaan sehingga terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM630,000.

Selebriti berusia 57 itu menyedari penipuan berkenaan apabila tidak menerima bayaran sekitar 20,000 pek produk makanan ringan yang telah dibekalkan. –

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok