‘Ibu hanya ada saya’ – Elfira Loy pura-pura minat kerjaya lakonan

PELAKON dan pengacara, Elfira Loy mendedahkan pembabitannya dalam dunia lakonan bukan kerana minat sebaliknya mahu membantu ibunya, Filzah Yusoff menambah pendapatan.

Menurut Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri itu ,31, sejak kecil dirinya tidak suka beraksi depan kamera kerana memiliki perwatakan introvert, namun segalanya berubah selepas menyedari bidang hiburan boleh dijadikan sumber rezeki.

Sebenarnya saya berlakon bukan kerana suka tetapi sebab mahu tolong ibu. Orang ingat saya minat, hakikatnya tidak.

“Masa pertama kali dapat bayaran, saya buat teater. Bila dapat duit, saya sedar kerja ini boleh bantu ibu,” katanya menerusi podcast Wardah Heart to Heart bersama Dayah Bakar.

Meskipun tidak menggemari dunia lakonan, pelakon Dear Cinta itu sanggup berpura-pura menikmati bidang itu demi ibunya.

Sejak dulu saya suka pendam perasaan sebab ibu hanya ada saya. Kalau saya sedih, dia pasti dua kali ganda lebih sedih.

“Sebab itu saya jadi keras hati dan terbawa-bawa sikap itu sampai sekarang,” ujarnya.

Elfira turut mengakui lebih selesa berkongsi rasa dengan Allah berbanding orang sekeliling.

“Daripada kecil saya bergantung dengan Allah. Apa-apa yang berlaku, saya cerita kepada-Nya.

Kalau perkara kecil, saya kongsi dengan adik-beradik. Tapi dengan ibu, walaupun saya diam, dia tetap tahu,” jelasnya.

Tambahnya lagi, fasa ibu bapa berpisah memberi kesan besar dalam hidupnya malah sebagai anak sulung, dia perlu kuat demi adik-adik dan tidak membiarkan kesedihan menguasai diri.

Saya tak pernah cerita kepada orang. Saya kuat sebab lalui fasa ibu bapa berpisah, dalam masa sama kena jadi tulang belakang adik-adik.

“Tapi ujian paling berat adalah putus tunang. Saya tak sangka orang boleh buat begitu kepada saya. Saya diam, tak pernah luahkan apa yang dirasa,” luahnya.

Menurut ibu kepada dua anak itu, kontroversi tersebut menjejaskan imejnya sebagai pelakon.

“Selama bertahun saya jaga nama baik tapi semuanya hancur dalam sekelip mata.

Hikmahnya, saya banyak habiskan masa di masjid. Itu menjadi titik perubahan dalam hidup saya,” katanya.

Elfira kini aktif menganjurkan program usrah menggunakan wang poket sendiri kerana percaya kepada keberkatan memberi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok