SEBAGAI pembuat dasar industri, isu membabitkan pelakon dan pengarah terkenal, Ellie Suriaty, 54, dan pempengaruh, Imran Bard, 24, adalah satu contoh buli siber.
Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berharap isu membabitkan Ellie dan Imran dapat diselesaikan dengan baik serta menjadi contoh kepada semua.
“Tanpa disedari, kita boleh menjadi penyumbang kepada buli siber jika tidak berhati-hati membuat sesuatu komen atau reaksi dalam media sosial.
Pengguna media sosial perlu peka dan tahu had sebelum membuat sesuatu perkara. Janganlah sehingga perkara buruk berlaku baru kita ambil tindakan.
“Jangan lupa agama dan budaya kita menekankan pentingnya adab dan kesusilaan berkomunikasi termasuk menyediakan atau menghasilkan konten di alam maya dan platform media sosial. Jadikan isu ini sebagai pengajaran buat semua,” katanya.
Menurutnya lagi, Kementerian Komunikasi juga kini giat membuat kempen mengenai bahaya dan keburukannya kepada masyarakat.
“Ellie ada menghubunginya dan turut meluahkan perasaan sedih dan terkilan mengenai isu pertikaiannya dengan pempengaruh berkenaan.
Saya berharap mereka dapat berjumpa dan bersemuka untuk selesaikan isu ini dengan baik.
“Saya pasti, bila dapat diselesaikan dengan baik, ini akan menjadi satu contoh yang baik kepada semua,” katanya.
Azmir berkata, isu itu tiada kaitan dengan perundangan Finas tetapi membabitkan artis yang dikenali ramai dan banyak pengiktirafan serta jasanya kepada industri seperti menjadi tenaga pengajar dan mentor.
Sebagai contoh, semasa penggambaran filem Memoir Seorang Guru tahun lalu, Ellie bukan sahaja berlakon tetapi pada masa sama dia juga banyak membimbing pelakon kanak-kanak dalam filem untuk memberikan lakonan yang terbaik,” katanya.
Terdahulu, Ellie Suriaty menuntut permohonan maaf daripada ibu bapa pempengaruh Imran Bard yang mencalar namanya menerusi dua hantaran TikTok dengan kandungan berunsur fitnah. – HIBGLAM