PENYANYI veteran, Datuk Khadijah Ibrahim menasihatkan penyanyi generasi muda agar lebih bekerja keras untuk memastikan nama terus kekal relevan dalam industri seni tanah air.
Menurut Khadijah 65, usaha tersebut adalah perlu bagi mengelakkan nama mereka tidak tenggelam selepas popular dengan hanya satu atau dua buah lagu sahaja.
“Artis muda seperti mereka perlu bekerja lebih keras lagi dan saya berharap tidak sekadar datang kemudian hilang begitu sahaja.
“Walaupun tak berkesempatan menonton malam kemuncak Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-39 baru-baru ini, saya sempat mengikuti perkembangan dalam media sosial.
“Saya kagum dengan pelapis muda yang berbakat,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu raya penyanyi Soma di ibu negara, baru-baru ini.
Tambahnya, mereka harus kekal lama dalam industri seni kerana berpotensi besar dalam bidang nyanyian dan gubahan lagu.
Dalam masa sama, Khadijah sempat menitipkan nasihat buat Aina yang baru-baru ini mengakui tertekan apabila menjadi mangsa kecaman netizen selepas AJL39 berakhir.
Baginya, tampil dengan imej pelik bukan satu perkara yang perlu jadikan isu besar kerana itu adalah salah satu cara Aina ‘memasarkan’ dirinya.
Bahkan, dia juga sempat membandingkan Aina dengan penyanyi antarabangsa popular, Madonna.
“Aina keluar sahaja boleh menyanyi, sedangkan Madonna tak boleh, tetapi apa dia buat? Dia pakai baju dalam aneh untuk menonjolkan diri.
“Begitu juga Aina, dia perlu buat sesuatu berbeza agar orang nampak bakatnya. Dia memiliki bakat besar dan susah nak dapat anak Melayu boleh menyanyi serta hasilkan lagu sepertinya.
“Aina kena kuat tahan kecaman. Dia kena faham bila masuk bidang seni tak boleh lari daripada dihentam kiri dan kanan.
“Jangan disebabkan itu, mental Aina jadi koyak hingga tersadai disebabkan mental tak kuat,” katanya lagi.
Ujarnya, penerimaan masyarakat terhadap artis tempatan tidak sama seperti di luar negara.
“Maaf cakap, masa Aina mula-mula keluar tapi tiada yang kenal, jadi dia harus cari cara untuk tonjolkan diri.
“Tapi, keputusan Aina tampil berbeza berhasil. Ini kerana orang mula ingin tahu siapakah Aina.
“Lady Gaga dulu pun disangka tidak waras, tapi akhirnya diterima dan gah di seluruh dunia,” ujarnya lagi. – HIBGLAM