Pelakon Sharnaaz Ahmad mengakui Syawal kali ini tidak membawa makna besar buat dirinya selepas kehilangan bapa tercinta, Allahyarham Datuk Bazir Ahmad Nazir Ahmad, tahun lalu.
Lebih memilukan, Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 40, berkata ibunya masih dalam tempoh idah, sekali gus tidak boleh ke mana-mana menyebabkan suasana perayaan berganda hambar.
“Ini tahun pertama tanpa bapa. Tahun pertama adalah tempoh paling sukar. Sebab itu saya tak beria-ia.
“Sebenarnya, emak masih dalam idah. Jadi, nak raya apa? Emak pun tak boleh keluar rumah. Saya pula hanya balik untuk cukup syarat. Solat sunat Aidilfitri, ziarah kubur, lepas itu saya balik.
“Saya rasa saya pun akan pulang ke Kuala Lumpur malam raya pertama, (malam ini),” katanya kepada HibGlam.
Tambah pelakon Polis Evo itu, dia hanya pulang sehari ke kampung halamannya di Pulau Pinang sebelum kembali ke ibu kota bagi meneruskan kerja dan mempromosikan filem Blood Brothers.
Malah katanya, dia enggan berlama-lama di kampung halaman kerana enggan emosi diusik kenangan bersama arwah bapa.
Tiada siapa pun di sana nak beraya sakan. Saya tetap akan balik ke kampung lagi nanti. Tapi kalau duduk lama-lama, rasa sebak pula sebab teringat arwah.
“Dulu, saya dan bapa selalu berjalan kaki bersama ke masjid untuk solat raya. Itu rutin setiap tahun dari kecil sampai dewasa.
“Pagi raya kalau berjalan dengan dia, pukul tujuh sudah sesak dengan orang ramai. Memang meriah. Sekarang, semua dah berubah,” luahnya.
Biarpun masih bersedih, duda satu anak itu reda selain percaya fasa kehilangan ibu bapa pasti akan dirasai setiap insan.
“Saya sudah 40 tahun. Bila tengok kawan-kawan sebaya, ramai juga yang kehilangan ibu bapa.
“Saya salah seorang daripadanya. Sedih memang sedih. Ini pertama kali raya tanpa bapa. Tapi itulah kehidupan. Sampai satu masa, kita pula akan diuji kehilangan sahabat dan akhirnya, giliran kita sendiri,” ujarnya.
Allahyarham Bazir Ahmad menghembuskan nafas terakhir pada 27 November tahun lalu.
Bagaimanapun, Sharnaaz tidak berkongsi secara terperinci punca kematian, cuma memaklumkan arwah menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM)