‘Dahulu ‘diikat’, terpaksa berpura-pura depan orang’

SEJUJURNYA, niat asal penyanyi yang kini bergelar usahawan juga penerbit filem ini diajak berbual demi bertanyakan khabar pelawak Along Cham yang memanas dengan banyak isu memandangkan mereka pernah akrab bagai isi dengan kuku.

Namun, usaha menelusuri respons dari sudut pandangan pemilik nama Asmawi Ani itu melencong haluan. Menghormari privasi yang barangkali biarlah Tuhan sahaja yang tahu, pertemuan empat mata bersama lelaki yang pernah disebut ‘Tsumawi’ itu berlangsung dengan pendedahan istimewa, yang tidak pernah tersiar selama ini.

Apa yang terbutir dari mulut Mawi tentang Along, dia tahu kes yang menimpa sahabatnya itu tetapi tidak sempat berhubung hingga kini.

Sambil rancak menyuap bihun goreng di sebuah kafe, topik dibicarakan lebih kepada diri sendiri terutama mengimbas zaman kegemilangannya sekitar 20 tahun lalu.

GELOMBANG Tsumawi yang pernah menjadi fenomena satu ketika dahulu mengubah perjalanan hidup Mawi.

Beremosi sesekali tertawa dan senyum sendiri, banyak memori semasa menjadi kegilaan ramai usai menjadi juara Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) termuntah dalam bicara pelantun Aduh Saliha itu.

Semua kenangan sewaktu zaman kemasyhuran akan bermain dalam kepala. Hari-hari saya akan tengok kereta Swift saya menang masa AF3.

“Saya sayang kereta itu kerana sangat sentimental. Hasil usaha peminat yang melayakkan saya menang.

“Surat khabar dulu-dulu semua saya potong dan simpan, buat galeri. Bila baca balik artikel, saya teringat,” katanya kepada HibGlam.

Merajai populariti hidup dalam fenomena glamor yang sukar dikawal untuk beberapa tahun, ada sesuatu yang menyelinap dalam hatinya, sehinggalah penyanyi berusia 44 tahun itu mula tak betah terus terperangkap dalam gelombang kemasyhuran.

“Semasa terkenal dahulu, saya tak bersedia. Semua artis nak duduk tempat saya, ramai nak trofi dan gelaran Anugerah Bintang Popular.

Bell Ngasri perlu menunggu 35 tahun untuk meraih gelaran tersebut tetapi saya hanya tiga bulan dalam AF, terus dapat anugerah tersebut selama tiga tahun berturut-turut.

“Sekarang lebih bebas jadi diri saya sendiri. Sebelum ini saya tak dapat tonjolkan diri yang asli, terpaksa berpura-pura depan orang,” ujarnya.

TIDAK pernah ada sesalan, namun Mawi pernah berasa tertekan dan seperti terkongkong sewaktu hidup pada zaman kegemilangannya sekitar 2005 hingga 2010 dahulu.

Berkongsi lanjut, bapa anak satu itu mengakui hidupnya sewaktu popular adalah tersekat, setiap masa dia hanya perlu mengikut arahan orang demi menjaga nama baik.

Dahulu susah untuk kata tidak, kena ikut sahaja termasuk tak boleh keluar malam sebab sudah jadi selebriti, yang kawal pula bukan keluarga tetapi orang luar. Saya nak main snuker atau takraw pun tidak boleh.

“Awal-awal saya ikut tetapi lama-lama rasa macam bodoh sebab hati tak mahu buat. Kehendak kita semua kena kawal,” jelasnya.

Sempat penulis bertanyakan tentang rakan-rakan AF yang cemerlang dalam Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL) baru-baru ini,

Mawi mengakui bahawa artis program realiti mempunyai kualiti setanding bintang-bintang lain.

“Ini membuktikan produk AF ada kualiti, pemilihan peserta pun bukan mudah. Beribu orang datang untuk uji bakat.

Orang selalu kata, selebriti program realiti adalah artis mi segera, tiada kualiti. Semua itu salah,” jelasnya.

MAWI melihat pentas AJL39 yang didominasi kebanyakannya bekas bintang AF sebagai bukti bahawa penyanyi program realiti tersebut bukan artis mi segera, semuanya berbakat, namun semuanya terserah pada untung nasib.

Ditanya keterbukaannya untuk kembali bertanding dalam program televisyen, anak kelahiran Johor itu bertegas, enggan mengikuti sebarang pertandingan memandangkan ada banyak komitmen lain seperti undangan nyanyian dan kerja-kerja penerbitan produksi miliknya, Mawi World Entertainment

“Saya tak mahu bertanding sebab dah pernah lalui. Sampai satu masa, rasa macam tidak mahu stres dengan pertandingan.

Pertandingan ini kalau ada masa terluang okey untuk masuk, saya pula ada banyak komitmen lain.

“Dulu ada juga tawaran masuk Gegar Vaganza tapi saya ada komitmen lain,” ujarnya.

Sebelum menggulung bicara, Mawi sempat berkongsi perkembangan terkininya yang tidak lagi bergelar penyampai radio selepas tujuh tahun bersama Zayyan.

Kontrak memang dah habis dan atas kehendak saya tidak nak teruskan kerana mahu bebas terima undangan nyanyian, sebelum ini boleh terima hari Sabtu dan Ahad sahaja,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok