DUNIA perfileman tanah air bakal digegarkan dengan naskhah seram terbaharu daripada Metrowealth International Group (MIG) iaitu Lakhus: Tangisan Iblis, yang menjanjikan kelainan dalam penceritaan.
Tidak sekadar menampilkan elemen seram biasa, filem berkenaan hadir dengan adunan kejutan serta plot yang sukar dijangka.
Pengarahnya, Azmir Affandi tampil berani membawa angin perubahan dalam sinema seram Malaysia dengan menyingkap sisi lain ketakutan.
Baginya, Lakhus bukan sekadar hiburan, tetapi satu karya yang menolak sempadan kebiasaan.
Kali pertama kami cuba keluarkan sebuah filem luar kotak. Saya bersyukur kerana diberi kebebasan menghasilkan sebuah naskhah berskala besar.
“Dari segi sinematografi, filem ini jauh berbeza dengan karya terdahulu. Saya juga mencuba untuk mengikuti peruntukan tertentu yang sudah ditetapkan MIG, tetapi dalam masa sama menampilkan pendekatan segar,” katanya kepada HibGlam.
Lebih menarik, filem berkenaan tidak lagi bergantung kepada watak ‘ustaz’ sebagai penyelamat dalam menghadapi gangguan makhluk ghaib.

AZMIR yakin naskhah Lakhus: Tangisan Iblis bakal menjadi fenomena luar biasa malah berbeza daripada karya seram tipikal yang sering mengisi pawagam tempatan.
Sebaliknya, Azmir cuba menyampaikan mesej bahawa sesiapa yang berpegang teguh kepada kepercayaan terhadap Allah mampu melawan apa jua gangguan syaitan.
Kami bukan menolak peranan agamawan atau Islam dalam filem ini. Cuma kali ini, kami kurangkan elemen itu kerana orang biasa juga boleh mengatasi gangguan makhluk ghaib dengan keyakinan kepada Tuhan.
“Setiap karakter ada sisi jahat tersendiri. Penonton akan tertanya-tanya siapa sebenarnya yang paling jahat dalam cerita ini. Itulah keunikan Lakhus,” katanya ketika ditemui pada majlis doa selamat di Wisma Metrowealth, baru-baru ini.
Namun, bukan mudah merealisasikan sebuah karya besar, Azmir mengakui cabaran sepanjang penggambaran, lebih-lebih lagi kerana dijalankan dalam bulan Ramadan.
Cabaran utama sudah tentu dari segi bajet, masa dan fokus para pelakon. Saya harap semuanya berjalan lancar dengan kerjasama semua pihak,” katanya penuh harapan.
Sementara itu, Pengarah Urusan MIG, David Teo, menyifatkan Lakhus: Tangisan Iblis sebagai antara projek besar mereka tahun ini.
Ini antara empat filem yang bakal kami hasilkan tahun ini dengan menampilkan pengarah-pengarah baharu. Kami mahu memberi peluang kepada bakat muda dan memperkaya industri dengan idea segar,” katanya.
Dibintangi pelakon hebat seperti Yasmin Hani, Qi Razali dan Maria Farida, naskhah berkenaan menjalani penggambaran sepenuhnya di sekitar Lembah Klang dan dijangka menemui penonton di pawagam pada September depan. – HIBGLAM