PELAKON sensasi, Fattah Amin hanya mampu menzahirkan perasaan gembira apabila kisahnya bersama Amira Othman mendapat perhatian Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Baru-baru ini tular dalam media sosial apabila penyanyi nombor satu negara itu meninggalkan komen sewaktu sesi siaran langsung Amira dan Fattah.
Antara komen yang ditinggalkan adalah ucapan selamat pengantin baharu selain tidak sabar untuk merenjis dan menyatakan kesudian untuk menyanyi di majlis perkahwinan Amira.
Fattah ketika ditemui di majlis iftar bersama barisan pelakon drama Keluarga Itu berkata, dia tidak mampu untuk komen lebih-lebih mengenai respons Siti dan menganggap perkara itu sebagai satu gurauan.
Sebenarnya ketika itu saya tak boleh baca komen daripada ‘Tokti’. Bila Amira beritahu saya tentang komen itu saya macam blur. Jadi saya tak tahu nak respons macam mana.
“Tetapi seperti yang selalu saya katakan, di bulan Ramadan yang mulia ini, kita perbanyakkan cakap yang baik-baik dan doa yang baik-baik. Saya baca komen ramai yang komen perkara yang baik termasuklah daripada ‘Tokti’ sendiri.
“Bila kita dapat gembirakan orang lain, kita pun rasa gembira,” katanya kepada HibGlam.
Ditanya apa perasaannya apabila kisahnya bersama Amira mendapat perhatian Biduanita Negara, Fattah hanya mampu mengeluarkan kata gembira sambil tersilu malu.
Rasa gembira apabila ada rakan-rakan artis yang bercakap baik-baik pasal kita. Tetapi untuk saya komen lebih-lebih tak berani la.
“Saya dan Amira kami hanyalah rakan sekerja yang bertugas sebagai duta untuk satu jenama pakaian. Doakan sahaja yang baik-baik,” katanya.
Terdahulu, hubungan Fattah dan Amira mula mendapat perhatian ramai sejak hujung tahun lalu. Mereka berdua juga sering tampil sedondon sewaktu mempromosikan jenama baju raya terkenal.
Fattah turut menafikan desas desus dia akan menamatkan zaman dudanya bersama Amira dalam masa terdekat. – HIBGLAM