Bisnes hampir ‘bungkus’, Noraniza sujud syukur Mydin jadi penyelamat

TANGISAN mengiringi sujud syukur, penyanyi Noraniza Idris lega apabila kilang makanan ringan yang hampir ditutup dapat terus beroperasi selepas menerima tempahan pukal pasar raya Mydin.

Bagai mendapat nyawa kedua, usahawan tersebut menganggap peluang tersebut sebagai ganjaran atas kesabaran selepas sebuah akademi tidak melunaskan bayaran sehingga syarikatnya terpaksa menanggung kerugian lebih RM600,000.

Selepas hampir jatuh terduduk apabila operasi kilang juga hampir dihentikan akibat isu hutang tidak dilunaskan, tiba-tiba produk saya ditawarkan untuk dijual di Mydin. Ini merupakan rezeki yang luar biasa.

“Saya anggap ini peluang untuk memulakan langkah baharu dalam perniagaan. Insya-Allah saya akan cuba tunaikan amanah ini dengan sebaik mungkin.

“Ketika Mydin bersetuju produk makanan kudapan syarikat saya berada di rangkaian mereka, kami sekeluarga sujud syukur atas rezeki kurniaan Allah ini,” katanya selepas pelancaran kerjasama produk Che Ani Premium bersama Mydin, semalam.

Jika sebelum ini dia terpaksa merehatkan pekerja, penyanyi Awallah Dondang itu kini menambah 32 kakitangan di kilangnya bagi menyiapkan tempahan selain menggerakkan operasi pengeluaran 24 jam sehari.

Akibat isu bayaran tertangguh pihak sebelum ini, staf saya hanya tinggal empat orang sahaja dan bagi memenuhi permintaan kami tambah lagi pekerja,” ujarnya.

Sebelum ini, perniagaan Noraniza berdepan dugaan apabila mendakwa dirinya menjadi mangsa penipuan yang mendorongnya membuat laporan polis pada 4 Mac lalu.

Laporan terhadap akademi berkenaan adalah  berkaitan kerugian ditanggung syarikatnya yang mencecah RM630,000.

Malah Noraniza turut mendedahkan terpaksa merehatkan 20 pekerja kerana tidak mampu membayar gaji mereka. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok