MELAMPAU dan mungkin kelihatan jijik, namun itulah yang dilakukan pelakon Fazlina Ahmad Daud apabila terpaksa meminum air basuhan dan mencium kaki aktor Faizal Hussein dalam satu babak drama Bidaah yang kini hangat diperkatakan khalayak.
Mengakui terseksa dan sukar, sebagai pelakon profesional, Fazlina, 50, bagaimanapun berjaya melakonkan babak tersebut dengan sekali ‘take’ sahaja.
Memang tiada tapisan, saya memang minum (air basuhan kaki) dan cium kaki. Memang terseksalah. Tetapi saya berjaya melakukan sekali sahaja kerana sudah dalam karakter,” tutur Fazlina.
Sebelum penggambaran, Fazlina sebenarnya ada mempersoalkan, mengapa terdapat pengikut ajaran sesat yang begitu taksub sehingga sanggup memberi harta kepada pemimpin tertinggi.
Namun, selepas berada di set penggambaran dan mendalami watak Kalsum yang merupakan salah seorang isteri pemimpin, barulah dia memahami situasi tersebut.
“Karakter Fazlina dan Kalsum sangat berbeza. Sebagai Fazlina saya tidak faham mengapa ada orang begitu taksub dengan pemimpin dan ajaran sesat.
Mungkin Allah nak tunjuk kepada saya, semasa berlakon saya sedang duduk di bawah dan Faizal duduk di atas kerusi yang besar.
“Dari bawah saya melihatnya seperti seorang figura yang begitu besar. Selepas itu, barulah saya faham kenapa mereka (mangsa) menjadi begitu. Terus saya simpati terhadap mereka,” jelas Fazlina.

FAIZAL sebagai Walid merupakan ketua ajaran sesat yang mengakui dirinya Iman Mahadi dalam Bidaah
Tambahnya, watak Kalsum di luar zon selesanya. Bukan sahaja berat dari segi penghayatan, drama Bidaah secara keseluruhannya dianggap seperti dakwah buat barisan pelakon.
Tidak pernah saya rasa begitu penat ketika berlakon. Rasanya bukan saya seorang tetapi semua pelakon rasa watak mereka sangat berat.
“Masing-masing mempunyai cerita tersendiri dan kami semua melakukannya kerana ini adalah ibadah. Mungkin daripada cerita ini orang ramai tidak akan terjerumus dan akan sedar taktik-taktik ajaran sesat,” luah Fazlina.
Skrip paling berat
Sementara itu, Erma Fatima selaku penerbit menjelaskan skrip Bidaah adalah paling sukar dalam paling lama untuk disiapkan.
Berbanding drama biasa, skrip Bidaah harus mendapat rujukan al-Quran, hadis dan golongan pakar dalam bidang agama.
“Ini adalah skrip paling susah dalam hidup saya kerana kita tidak sesatkan ajaran agama, jadi dalil dan segala ilmu yang disampaikan dalam drama ini harus betul.
Banyak dialog yang bercakap tentang agama saya harus rujuk kepada ustaz terlebih dahulu. Tetapi untuk memesongkan perangai watak adalah mudah kerana itu adalah fiksyen.
“Oleh itu, pelakon mendapat skrip setiap hari di set (ketawa). Setiap pagi mereka datang ke set tanpa tahu perjalanan cerita,” kata Erma.
Disoal tentang babak minum air basuhan kaki yang dilakonkan oleh Fazlina, jelas Erma, dia mahu menonjolkan perkara yang benar-benar berlaku menerusi drama Bidaah.
Jika saya ‘cut’ dan menggunakan teknik kamera babak tersebut tidak akan nampak ‘real’. Setakat ini hanya Fazlina dan beberapa pelakon tambahan yang terpaksa minum dan cium kaki Faizal Hussein,” katanya.
Sedar bahawa Bidaah sebuah karya yang ‘panas’ dan sensitif, sebagai penerbit Erm sudah bersedia andai drama arahan Pali Yahya itu menjadi kontroversi.
“Kecaman sudah menjadi makanan rutin saya. Sudah selalu sangat saya kena. Buat cerita baik dikecam, cerita tidak baik pun dikecam.
Paling penting drama Bidaah dibikin bukan hendak menjatuhkan Islam, tetapi mahu memerangi pemimpin yang membawa kesesatan dalam ajaran Islam,” ujar Erma.
Selain Fazlina dan Faizal Hussein, Bidaah turut dilakonkan Riena Diana, Fattah Amin, Hasnul Rahmat, Vanida Imran, Fathia Latiff, Malia Baby dan Marisa Yasmin.
Bidaah ditayangkan menerusi Viu bermula 6 Mac lalu. – HIBGLAM