SETIA di sisi, isteri kepada penyampai radio Era FM Nabil Ahmad iaitu Zira Ayub menyifatkan kontroversi yang melanda suaminya ketika ini merupakan ujian daripada Tuhan.
Menurut Zira atau nama penuhnya Nazirah Ayub, 37, dia percaya semua dugaan yang berlaku akan reda dan berakhir dengan baik.
“Ayah (panggilan untuk Nabil), jangan risau sebab semuanya akan baik-baik sahaja.
Terima ini sebagai peringatan daripada Allah SWT agar selalu mengingati-Nya tidak kira dalam keadaan susah atau senang.
“Awak ada kami (isteri dan anak-anak) yang akan sentiasa menyokong dan menyayangi awak,” katanya dalam platform Thread semalam.
Zira juga memilih untuk membiarkan sahaja masyarakat melemparkan apa sahaja tohmahan kerana lebih mengenali suaminya.
Awak adalah seorang bapa yang penyayang, mengambil berat dan memiliki ciri-ciri kebapaan.
“Saya adalah peminat terbesar awak.
Mereka boleh bercakap apa sahaja yang buruk tentang awak tetapi saya lebih mengenali awak daripada orang lain,” ujarnya.
Semalam, Nabil bersama rakan penyampai segmen 3 Pagi Era lain iaitu Radin dan Azad Jasmin selesai memberi keterangan selama lebih dua jam di Bukit Aman, Kuala Lumpur berhubung dakwaan mempersenda upacara agama Hindu.
Selain penyampai-penyampai program itu, tiga lagi kakitangan Era FM juga dilihat beredar dari premis itu.
Difahamkan, keterangan mereka dirakam oleh pegawai Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT).
Kelmarin, video permohonan maaf daripada mereka tular selepas insiden mempersenda tarian kavadi Hindu ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan mencetuskan kontroversi.
Video asal yang sudah dipadam daripada platform media sosial stesen berkenaan memaparkan seorang daripada mereka meniru tarian kavadi sambil menyebut ‘Vel, Vel’ sebelum disusuli gelak tawa rakan lain.
Klip itu mencetuskan kritikan meluas kerana dilihat tidak menghormati sensitiviti agama lain.
Polis mengesahkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – HIBGLAM