TIDAK lengkap penampilan wanita tanpa barang kemas. Apatah lagi pada musim perayaan, ia menjadi aksesori wajib yang akan menyerlahkan lagi keanggunan kaum hawa.
Begitu juga dengan aktres jelita, Anna Jobling yang juga duta jenama barang kemas terkemuka, Tomei.
Menurut pemilik nama lengkap Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman Jobling, 25, itu, sejak kecil dia sudah dididik ibunya untuk menjadikan barang kemas bukan sahaja sebagai perhiasan tetapi juga simpanan masa depan.
“Saya memang penggemar barang kemas. Dari dulu saya suka emas dan berlian.
“Saya telah dipakaikan emas sejak bayi lagi. Keluarga sentiasa mendidik saya supaya tahu tentang nilai barang kemas untuk dijadikan pelaburan masa hadapan.
“Sejujurnya saya bangga dipilih nejadi duta Tomei. Apa yang saya suka dan apa yang jenama ini tawarkan adalah selari. Kami ibarat ‘a match made in heaven’,” katanya.

ANNA peminat tegar barang kemas sejak kecil.
Bercerita lanjut tentang koleksi baharu Tomei sempena musim perayaan yang diberi nama Tomei Raya Keepsakes: Written In Gold, kata Anna setiap rekaan dicipta khusus untuk rakyat Malaysia yang suka tampil menawan di hari lebaran.
“Koleksi terbaru ini merayakan keindahan rekaan klasik yang kaya dengan reka bentuk kombinasi elemen ikonik seperti Kerawang Bunga dan Motif Flora. Ini merupakan gabungan intipati seni tradisional Melayu dan sentuhan rekaan moden.
“Ada lima koleksi eksklusif yang perkenalkan tahun ini. Semuanya memenuhi cita rasa rakyat Malaysia dan sesuai untuk pelbagai peringkat umur,” jelasnya.
Ditanya tentang cita rasa peribadi pilihannya untuk dipakai sempena Aidilfitri nanti, kata pelakon filem Lembayung itu dia sukakan sesuatu yang klasik, malar segar dan elegan.
“Aksesori wajib yang saya akan pakai adalah cincin. Sejak dari dulu arwah bapa akan belikan cincin untuk saya.
“Tetapi bila bercakap tentang hari raya, gaya aksesori saya berubah-ubah mengikut baju yang saya pakai.
“Misalnya kalau baju yang dipakai agak ringkas, saya akan pakai aksesori yang lebih menonjol sedikit. Tetapi kalau pakai baju yang bercorak saya akan padankan dengan aksesori yang lebih ringkas dan elegan,” kongsinya.
Kesemua koleksi tersebut boleh didapati di semua butik Tomei seluruh Malaysia. Pameran dan jualan koleksi Tomei turut diadakan di atas concourse Suria KLCC hingga 2 Mac 2025. – HIBGLAM