TINDAKAN pelawak sensasi yang terkenal dengan karakter Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Jason Scoop mempersendakan pelakon Alec Baldwin hampir memakan diri.
Dalam insiden di hadapan sebuah hotel di New York malam minggu lalu, Baldwin didatangi Scoop yang menyelar mengenai perancangan pelakon itu yang kononnya mahu berhijrah andai Trump kembali menang pilihanraya kerusi presiden.
Bahkan provokasi lelaki terbabit semakin menjadi-jadi apabila aktor berkenaan tidak memberikan respons dengan menyentuh kes kematian seorang kru di sebuah set penggambaran.
Kejadian yang berlaku pada Oktober 2021 menjadi tajuk berita dunia malah ramai menggesa Baldwin dipenjara biarpun tindakannya bukan disengajakan.
Mendengar Scoop mengungkit kisah lama, Baldwin terus mendekati lelaki itu dan meluahkan kemarahannya.
Biarpun tidak melenting, kedengaran suaranya menyebut mahu mematahkan leher Scoop andai tidak berhenti daripada cuba memprovokasinya lagi. – HIBGLAM