LENGKAP dan sempurna, penyanyi Ismail Izzani menyifatkan Aidilfitri tahun ini lebih bermakna apabila dapat meraikannya bersama keluarga tercinta dalam suasana bahagia.
Lebih istimewa kata Ismail atau nama sebenarnya Izzani Zainal Nazeri, 25, lebaran ini disambut bersama insan baharu dalam hidup ibunya, Suliza Salam, yang mendirikan rumah tangga buat kali kedua pada Disember lalu.
“Raya tahun ini lengkap, insya-Allah. Saya percaya setiap yang berlaku ada hikmah tersendiri. Tak sangka kebahagiaan boleh datang dalam cara begini.
“Walaupun pernah melalui fasa sukar, akhirnya Allah sangat adil. Ibu, saya dan keluarga kini lebih bahagia,” katanya kepada HibGlam.
Pun begitu, pelantun lagu Luar Biasa itu tetap mengekalkan hubungan baik dengan bapa kandungnya meskipun terpisah akibat perceraian.
Katanya, dia bersyukur dengan segala kurniaan yang diberikan dan percaya setiap ujian mendewasakan dirinya.
“Alhamdulillah, saya masih berhubung dengan ayah dan baru-baru ini kami sempat bertemu.
“Kami berbual, luangkan masa bersama dan syukur, ayah juga kini bahagia dengan keluarga baharunya.
“Raya tahun ini saya akan berkunjung ke rumah ayah, pastinya lebih meriah dengan kehadiran semua,” ujarnya.
Pada 22 Disember lalu, Suliza selamat mendirikan rumah tangga bersama pilihan hati, Ismail A. Samad dalam majlis sederhana tetapi penuh makna.
Terdahulu, perkahwinan penyanyi 1980-an itu dengan ahli perniagaan, Datuk Zainal Nazeri Zainuddin yang juga penerbit filem pada 11 Januari 1991 berakhir tiga tahun lalu.
Begitupun, pasangan yang dikurniakan tiga cahaya itu tidak pernah berkongsi mengenai perpisahan mereka sehingga Ismail mengesahkannya sekitar tahun lalu. –HIBGLAM.