PENYANYI Iman Troye dikejarkan ke hospital akibat masalah telinga dan tekak semalam namun berdegil terus bekerja meskipun doktor menyarankan agar berehat dahulu.
Iman atau nama sebenarnya Siti Nur Alyssa Sahabudin, 22, berkata, keadaan kesihatannya semakin membimbangkan berikutan berbulan-bulan bekerja tanpa henti.
“Awalnya saya ke hospital untuk dapatkan ubat sahaja kerana tekak dan telinga saya sakit.
Telinga kanan langsung tak dengar, tekak pun sakit sebab nyanyi tanpa rehat. Dari konsert terus keluarkan album, memang tiada masa untuk diri sendiri.
“Sepatutnya saya kena tahan di wad untuk rawatan lanjut, tapi saya hanya masuk kecemasan sebab masih ada komitmen kerja perlu dilunaskan,” katanya kepada HibGlam.
Biarpun kesihatan merosot, pelantun lagu Teman itu tetap memenuhi jadual padat sepanjang Ramadan kerana enggan mengecewakan pihak yang telah memberi kepercayaan kepadanya.
“Doktor tentulah marah, tapi ini merupakan amanah serta tanggungjawab buat saya. Sekarang habiskan kerja dahulu, raya nanti baru fikir soal rehat.
Bahaya memang bahaya, tapi rezeki ada di mana-mana. Kalau saya berehat, mungkin saya tak dapat pengalaman seperti ini lagi.
“Selagi ikhlas, Allah pasti permudahkan rezeki,” ujarnya pada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pemberian ayam percuma di PPR Taman Wahyu, Selayang, semalam.
Menariknya, pemilihan lokasi program CSR kali ini begitu dekat di hati Iman kerana kawasan itu merupakan tempatnya membesar.
Saya selalu datang sini tengok rumah lama, lagi pun masih ada kenalan tinggal di sekitar kawasan ini, cuma tahun ini baru pertama kali buat program sebegini.
“Tadi yang beratur ambil ayam ada juga mak angkat dan rakan ibu bapa saya. Memang banyak kenangan manis di sini,” dedahnya.
Projek kemasyarakatan itu dilaksanakan pengeluar jenama minyak wangi, Perfume Paradise yang mengedarkan 500 ayam percuma kepada penduduk setempat.
Selain Iman, program CSR itu turut disertai artis di bawah XO House termasuk Dalia Farhana, Zubir Khan dan Alyamardien.
Sebelum ini, Perfume Paradise menjalankan program serupa di PPR Setapak dan kali ini jumlah sumbangan digandakan. – HIBGLAM