Hidup berpoligami, pelakon Ashraf Muslim mengamalkan sistem penggiliran untuk pulang ke kampung halaman isteri-isterinya bagi menyambut hari lebaran.
Menurut Ashraf, 44, kedua-dua isterinya iaitu Noor Dayana Lokman dan Wan Sakinah Wan Saburi akan duduk berbincang bersama-sama perihal balik kampung setiap tahun dan segala keputusan akan dilakukan olehnya.
“Raya lama bukannya satu atau dua hari jadi saya buat penggiliran. Saya gunakan masa dengan baik antara dua keluarga.
“Perkara ini bukan nak rasa baru bincang, prosesnnya panjang. Sebagai suami saya akan buat keputusan, mereka akan berbincang,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Berkongsi lanjut, pelakon drama Khilaf Yang Tertulis itu mengakui tidak pernah berdepan sebarang permasalahan mengenai isu balik kampung kerana sudah lama melalui pengalaman tersebut.
“Bagi saya tiada masalah, dah berbelas tahun saya melaluinya. Yang penting ziarah dan menyantuni keluarga.
“Tahun ini akan beraya di rumah Sakinah terlebih dahulu memandangkan keluarga Dayana pergi umrah,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Ashraf bernikah dengan isteri pertamanya, Noor Dayana Lokman pada 24 September 2011 di Mekah dan difahamkan masalah rumah tangga mula tercetus kerana isu belum dikurniakan zuriat sepanjang dua tahun perkahwinan.
Bagaimanapun, selepas empat tahun bernikah, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Anas Ashraf, 7.
Dalam masa sama, Ashraf berkahwin dengan Wan Sakinah Ahmad Saburi di Thailand pada 7 Julai 2013 pula, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Sarah Ashraf, 8, Adam Ashraf, 7, dan Safiyyah Ashraf, 3. – HIBGLAM