SEJAK bapa diserang sakit jantung November tahun lalu, pelakon Lia Natalia tidak menyesal menolak tawaran kerja semata-mata untuk menjaga insan tersayang, Abden Aben.
Malah, Lia atau nama sebenarnya Alia Afiqah Abden, 33, bersyukur apabila dapat memberikan sepenuh perhatian menjaga bapanya hingga akhir hayat.
Hari pertama bapa diserang sakit jantung, jatuh tepat pada hari lahirku, 12 November. Lima bulan bapa bertarung dengan kesakitan dan sepanjang itu aku ulang-alik dari Kuala Lumpur, Tawau dan Kota Kinabalu.
“Aku korbankan kerja, tolak semua tawaran berlakon dan festival raya yang sepatutnya berlangsung pada 21 Mac yang akhirnya menjadi tarikh pemergian bapa.
Tetapi aku reda dan ikhlas sebab Allah beri aku peluang paling berharga untuk menjaga bapa hingga ke nafas terakhir. Aku puas pak (panggilan bapa) langsung tiada penyesalan,” katanya dalam hantaran Instagram.
Bagaimanapun, pelakon filem Padu itu terkilan apabila tidak dpaat menunaikan hasrat arwah untuk mengerjakan ibadah haji.
“Semua permintaan bapa alhamdulillah aku dah tunaikan, cuma satu sahaja yang belum. Bapa mahu menunaikan ibadah Haji.
Insya-Allah ada rezeki aku janji satu hari nanti aku akan lakukan haji badal (upah haji) untuk bapa ya,” ujarnya.
Selain itu, anak kelahiran Tawau, Sabah itu turut menceritakan kebaikan bapanya dan percaya segalanya diberikan ganjaran baik daripada Allah.
“Sepanjang bapa di hospital, setiap hari ada sahaja insan baik menghantar makanan untuk kita. Aku yakin ini semua sebab kebaikan bapa.
Bapa rajin bersedekah, ikhlas masakkan orang, bagi orang makan, kucing di belakang rumah pun hari-hari bapa gorengkan ikan dan Allah membalas dengan cara paling indah.
“Sebab itulah Allah memilih hari yang paling mulia untuk menjemput bapa pulang. Hari Jumaat dalam bulan Ramadan, malah di 10 malam terakhir penuh keberkatan,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Lia memaklumkan bapanya meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth 2 di Kota Kinabalu, Sabah pada Jumaat lalu. – HIBGLAM