‘Ada orang ingat saya dah kahwin, bersara’

NAMA Wafariena bukanlah asing dalam dunia seni tanah air. Pernah menggegar industri dengan watak Nurul Ain dalam naskhah 7 Hari Mencintaiku, pesona wanita tinggi lampai itu menarik perhatian khalayak. 

Ketika itu, dia pernah menjadi antara pelakon muda paling digilai.

Lapan tahun meniti anak tangga karier, si mata bundar itu tidak pernah berpaling dari dunia lakonan.

Lebih 50 drama dijayakan, semuanya membuktikan kelangsungan bakatnya tetapi kesibukan industri yang sentiasa melahirkan wajah baharu, menurunkan suhu kepanasannya sehingga dia seolah-olah tersembunyi di balik kilauan orang lain.

Diganggu pengendap

Didakwa ‘sendu’ atau tidak lagi laku selepas lama hilang daripada slot perdana, pemilik nama sebenar Wafariena Roslan itu menegaskan, tawaran buatnya sentiasa bertali arus. Tinggal lagi, banyak naskhah lakonannya menanti giliran untuk ditayangkan.

Tiada masa bercuti mahupun hilang,  setiap detik diisi dengan bekerja, skrip bertukar watak, lokasi penggambaran jua bersilih ganti diredah.

“Saya ada, sebenarnya tawaran saya ‘back to back’. Baru selesai telefilem RTM, tajuknya Anak Bapak. Bergandingan dengan nama-nama besar seperti Ruzaidi Abd. Rahman dan Rahim Omar.

“Ramai juga yang bertanya kenapa tak nampak saya dalam slot Akasia atau platform OTT. Sebenarnya ada banyak tawaran, cuma sering bertindih dengan jadual RTM yang sudah dikunci lebih awal.

“Bila dah ‘lock’ dengan satu produksi, saya kena berpegang pada janji. Produksi dah bayar deposit, tak boleh tarik diri sesuka hati semata-mata mahu muncul di stesen televisyen lain,” katanya kepada HibGlam.

Pelakon dagu terbelah itu juga mengakui kurang aktif dalam media sosial, selain jarang mengemaskini aktiviti sehariannya kerana sebelum ini pernah diganggu peminat obses.

“Mungkin orang ingat saya hilang sebab media sosial pun saya tidak aktif. Saya jujurnya kurang dedahkan aktiviti  atau kongsi lokasi penggambaran sebab pernah berlaku insiden peminat datang mencari. Baik lelaki mahupun perempuan.

“Bukan sekali dua, tapi berkali-kali. Ada yang datang bawa hadiah, yang hanya mahu melihat dari jauh. Niat mereka baik, tapi apabila terlalu obses, jadi seram juga.

“Sebab itu sekarang saya lebih suka kumpulkan semua gambar dan video sepanjang penggambaran, kemudian baru kongsi pada hari terakhir. Langkah berhati-hati untuk elak kejadian tak diingini,” ujarnya.

Kahwin rahsia

Ditanya sama ada tahap suam ini dek terlalu ‘bersih’ tanpa cerita cerita sensasi, anak jati Pulau Pinang itu dengan pantas, mengerutkan kening. Dia bukan jenis artis kebulur perhatian.

Dia sebaliknya rela mengulit karier tanpa perlu menjaja kontroversi murahan mahupun kisah ciptaan demi ‘menetap’ di bibir ramai.

“Saya masuk industri mahu cari rezeki, bukan cipta drama luar skrin. Hanya ikut arus, buat kerja, balik. Senang cerita saya tidak kebulur perhatian dan kontroversi murahan.

“Bukan takut kontroversi atau nak jaga nama, tetapi kita semua dah cukup dewasa untuk tahu mana elok, mana yang tidak.

“Saya mahu dikenang sebagai pelakon yang memberikan watak terbaik dalam setiap drama atau filem, bukan sebagai artis yang hanya terkenal dengan kontroversi atau buat orang bercakap bukan-bukan.

BERDERET tawaran, Wafariena tidak pernah hilang dari radar industri hiburan tanah air sebaliknya hanya kurang aktif dalam media sosial selepas insiden diekori peminat fanatik. – AMIR KHALID

Lebih mengejutkan, wanita berusia 30 tahun itu juga mengakui pernah dituduh sudah berkahwin secara senyap-senyap. Lantaran itulah kerjaya seni diperlahankan.

“Ada orang cakap saya sudah berhenti berlakon sebab sudah kahwin. Ya, banyak kali dah kahwin tapi dalam drama. Mungkin sebab itu orang ingat realiti pun sama.

“Hakikatnya, belum lagi, masih solo. Kalau ada jodoh, adalah. Siapa tak nak kahwin, kan. Tetapi melihat ramai yang bercerai daripada berkahwin, takut pula jadinya. 

“Perihal jodoh ini susah untuk diulas kerana bukan bawah kawalan kita. Jadi, saya serahkan kepada Allah kerana Dialah sebaik-baik perancang,” tuturnya tersenyum.

Ramadan tanpa cuti

Enggan terlalu larut dalam topik tersebut, penulis sempat bertanyakan pelakon drama Wanita Milik Kaiden itu aktivitinya sepanjang bulan puasa.

Jika ada yang menganggap Ramadan adalah masa berehat, tanggapan tersebut bukan untuk Wafariena.

DITUDUH sudah berkahwin senyap-senyap, Wafariena mengakui benar sudah banyak kali dikahwinkan, namun itu semua dalam lakonan, realitinya dia masih solo, belum berpunya.

“Tiada istilah cuti walaupun dalam bulan puasa. Selagi boleh berlakon, selagi itu saya bekerja. Tiada apa yang berubah pun.

“Cuma kalau penggambaran dibuat dalam bulan puasa, biasanya kami akan dilepaskan awal, sekitar pukul 5 petang.

“Kalau lokasi dekat, sempatlah berbuka dengan keluarga. Kalau jauh, buka puasa di set sahaja,” jelasnya.

Paling penting kata Wafa, Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga sebaliknya melatih diri menjadi insan lebih baik.

“Bulan untuk belajar sabar. Bukan hanya sabar sebab tak boleh makan, tapi sabar daripada melakukan perkara sia-sia.

“Kalau hari biasa, ada orang buat kita marah, kita mungkin akan balas.

“Tapi bulan puasa, kena kawal emosi, lebih banyak bersabar,” tutupnya.

 

 

 

 

 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok