INDUSTRI hiburan Korea Selatan menuntut pelakunya memiliki bakat versatil. Idola K-Pop bukan sekadar perlu menyanyi dan menari dengan sempurna, malah ramai mengembangkan sayap dalam cabang seni lain termasuk lakonan.
Ada yang berjaya mencuri hati penonton tetapi ada juga tersungkur dalam lautan kritikan.
Hakikatnya, aura pentas belum tentu menjamin magis di layar kaca. Wajah rupawan, populariti mencanak dan mempunyai peminat setia bukan tiket untuk mereka bergelar pelakon hebat.
Kendatipun nama gah dijulang tinggi, apabila lakonan kurang meyakinkan, mereka tetap dikritik dan dihentam dari pelbagai sudut.
Kimchi Panas minggu ini menyelak kisah lima idola K-pop yang mencuba nasib dalam dunia lakonan, namun terpaksa bermandi air mata menelan kritikan pedas dan kebencian ramai dek lakonan yang tidak membuahkan emosi.
Cha Eun-woo
Sebut sahaja nama Cha Eun-woo, pasti ramai membayangkan wajah sempurnanya bak watak dalam novel cinta.
Pun begitu, di sebalik pesona itu, lakonannya dalam beberapa drama telah menjadi topik perdebatan.
Ketika membintangi My ID is Gangnam Beauty, jejaka berusia 28 tahun itu memegang watak lelaki dingin dengan minimal ekspresi.
Ramai beranggapan gaya lakonannya terlalu mendatar dan tidak menonjolkan emosi yang diperlukan.
Kritikan semakin pedas apabila dia membawa peranan serupa dalam True Beauty, membuatkan penonton berasa seolah-olah melihat salinan watak yang sama.
Namun, anggota kumpulan Astro itu tidak tunduk pada kecaman sebaliknya terus bekerja keras mempersiapkan dirinya untuk watak lebih mencabar dalam Island dan A Good Day to Be a Dog.
Hyeri
Anggota kumpulan Girl’s Day, Hyeri mencuri perhatian menerusi Reply 1988 tetapi percubaannya dalam Moonshine menerima sambutan dingin.
Kritikan tertumpu pada gaya lakonannya yang dikatakan tidak sesuai dengan era Joseon.
Sebagai heroin dalam drama bersejarah, ramai menjangkakan lakonan lebih sofistikated dan meyakinkan, namun ekspresi dan mood Hyeri lebih sesuai untuk drama moden.
Tidak mudah melatah, idola berusia 30 tahun itu berlapang dada menerima kritikan dan berjanji untuk memperbaiki kelemahannya.
Dia tahu, dunia lakonan bukan sekadar mengikut skrip semata-mata, tetapi memerlukan jiwa dan kesungguhan untuk benar-benar ‘hidup’ dalam watak.
Suzy
Bae Suzy sering digelar ‘nation’s first love’ kerana pesona manisnya tetapi perjalanan kariernya terutama lakonan sering dihujani kritikan. Ketika membintangi drama Gu Family Book dan Uncontrollably Fond, anggota kumpulan Miss A itu teruk dikecam gara-gara ekspresi wajahnya dikatakan kurang meyakinkan.
Penonton berasakan idola berusia 31 tahun itu terlalu bergantung pada kecantikannya sehingga gagal menonjolkan emosi mendalam dalam setiap adegan.
Namun, Suzy membuktikan bahawa dia bukan sekadar ‘patung cantik’ apabila tampil dengan lakonan lebih matang dan berjiwa menerusi siri popular Vagabond dan Anna.
Kritikan yang dahulu menjadi beban kini bertukar menjadi pujian melangit.
Taecyeon
Memiliki tubuh tegap dan wajah maskulin, anggota kumpulan 2PM, Taecyeon mempunyai pakej lengkap sebagai pelakon, namun permulaannya dalam drama Dream High tidak begitu memberangsangkan.
Membawa watak sebagai Jin-gook, pelajar berbakat dalam muzik, ramai berpendapat lakonannya terlalu ‘kayu’ dan tidak menyerlah.
Adegan beremosi yang sepatutnya menggongcang jiwa penonton terasa kosong, malah penyampaian dialognya kedengaran canggung.
Menyedari kelemahan diri, idola berusia 37 tahun itu menyertai kelas lakonan dan akhirnya menunjukkan peningkatan luar biasa menerusi watak antagonis dalam Vincenzo.
Ternyata Taecyeon berjaya membuktik usaha keras mampu mengubah persepsi negatif orang ramai terhadap kemampuannya.
Jisoo
Nama anggota kumpulan Blackpink, Jisoo gah dalam dunia muzik tetapi percubaannya sebagai pelakon utama drama Snowdrop tidak menerima sambutan sehebat debutnya sebagai bintang K-Pop.
Meskipun drama berkenaan menjadi fenomena, lakonan kayu idola berusia 30 tahun menjadi buah mulut ramai.
Ekspresi wajahnya dikatakan kurang bertenaga sehingga adegan romantik dan babak emosi terasa hambar.
Walaupun dihujani kritikan, pelantun lagu Flower itu tidak berkecil hati, malah mengakui pengalaman pertamanya sebagai heroin memberi banyak pengajaran.