‘Tunggu pintu diketuk waktu sahur, suap nasi goreng planta’

Pahit yang harus ditelan, pelakon Kilafairy mengakui bulan Ramadan sangat berbeza buat dirinya sejak pemergian ibu tercinta iaitu Allahyarham Rohana Jalil sejak dua tahun lalu.

Menurut Kilafairy atau nama penuhnya Syakila Nisa Jahangir Khan, 33, banyak momen bersama ibunya pada bulan Ramadan yang sangat menjentik emosi.

“Ma (panggilan buat arwah ibunya), bulan puasa tanpa awak sangat sukar.

“Menanti pintu diketuk, dikejutkan untuk bangun sahur dan suap saya nasi goreng planta mama.

“Tapi awak sudah tiada,” katanya dalam platform Thread semalam.

Sementara itu, dalam perkongsian berbeza, bintang filem Hoore Hoore itu memberitahu tidak membeli busana baharu bagi menyambut Syawal tahun ini.

“Tak, saya tidak membeli baju raya. 

Apa makna raya tanpa ibu saya?” luahnya lagi.

Dalam ruangan komen, rata-rata netizen menitipkan semangat buat Kila agar kuat menerima pemergian ibu tercinta.

“Kalau rindu, panjatkan banyak doa buat arwah ibu. Semoga kalian bertemu di syurga.

“Ingatkan saya sahaja rasa begini, rupa-rupanya Kila juga. Semoga semua yang kehilangan ahli keluarga terus kuat.

“Terus kuat Kila, tak mengapa nak luahkan emosi itu. Ramadan tanpa seorang ibu memang sangat menyedihkan,” komen netizen.

Terdahulu, Allahyarham Rohana yang juga penyanyi popular 1980-an meninggal dunia pada 21 Jun 2023 akibat masalah kebocoran usus. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok