SEMAKIN akrab, penyanyi Bella Astillah menzahirkan rasa terharu di atas kesungguhan ahli politik Syed Saddiq melakukan kejutan ulang tahun kelahirannya semalam.
Bella atau nama lengkapnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 31, turut berterima kasih kepada ibu bapa yang tidak putus memberikan sokongan terhadap dirinya.
“Mama, tolong jaga kesihatan kerana mama adalah mediator kejayaan kak long (nama panggilan Bella dalam keluarga) dan ayah terima kasih sebab sentiasa sayang serta bantu jaga Ayden dan Ara.
“Terima kasih atas semua doa dan ucapan daripada semua peminat dan pengikut, alhamdulillah.
“Yang terakhir, ‘Ironman’ (nama panggilan Bella buat Saddiq) saya sangat menghargai masa yang awak rancang untuk buat kejutan ‘grumpy munchkin’ (nama panggilan Saddiq untuk Bella),” katanya dalam hantaran Instagram.
Selain kejutan, Saddiq juga dilihat membawa keluarganya menyambut ulang tahun Bella di sebuah restoran.
Dalam masa sama, Bella sempat mengimbau kembali sambutan ulang tahun ketika berada di titik terendah dalam hidup pada 2024.
Namun, dia bersyukur apabila tahun ini sambutan lebih meriah dengan kehadiran lebih ramai insan tersayang sehingga menitiskan air mata kegembiraan.
Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dikelilingi orang hebat. Saya sangat beruntung memiliki kalian semua dalam hidup saya dan menghargai ucapan serta sambutan ulang tahun saya. Ini adalah hadiah yang cukup bermakna buat diri saya.
“Hantaran terakhir adalah kejutan ulang tahun pada tahun lalu, saya sangat murung ketika itu. Setiap masa menangis sampai demam.
“Masa itu tidak mahu jumpa sesiapa tetapi Balqish, Affa dan Aus datang sarapan hanya untuk buat kejutan kepada saya kerana saya tidak mahu menyambut hari jadi. Tahun 2025 pun saya menangis tetapi tangisan gembira, alhamdulillah,” ujarnya.
Berkongsi lanjut, pelantun lagu Bermanja Manja itu memaklumkan setiap perkara yang berlaku membuatkannya lebih memahami maksud pelangi selepas hujan yang sering didengar sebelum ini.
“Sekarang baru saya betul-betul faham apa erti akan ada pelangi selepas hujan.
Jika kamu yakin akan ada pelangi selepas hujan, maka kamu harus yakin akan ada kebahagiaan setelah adanya perjuangan. Tidak kita cepat mahupun lambat tetapi pasti bagi hamba-Nya yang sabar dan ikhlas.
“Jika jatuh adalah hujan dan bangkit adalah matahari maka kita perlu kedua-duanya untuk melihat pelangi,” jelasnya.
Sebelum ini, Bella dan penyanyi Aliff Aziz pernah berkahwin pada 9 September 2016 namun sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada 13 Jun tahun lalu.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean , 7, dan Ara Adreanna yang kini berusia empat tahun.
Baru-baru ini, hubungan rapat Bella dan Syed Saddiq semakin hangat diperkatakan selepas masing-masing dipilih menjadi duta sebuah jenama pakaian.
Mereka dilihat banyak meluangkan masa bersama sehingga pernah menjadi perhatian di Korea Selatan.
Meskipun tidak mengesahkan status perhubungan, ramai mendoakan kedua-dua figura popular terbabit mendirikan rumah tangga. – HIBGLAM