GARA-GARA impak watak haruan makan anak dalam drama Keluarga Itu, pelakon dan usahawan Datuk Rosyam mengakui ada pihak menyeru orang ramai memboikot pasar raya miliknya, ST Rosyam Mart.
Begitupun, Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin, 58, menyifatkan perkara tersebut sekadar gurauan netizen dalam media sosial selepas naskhah itu trending.
“Memang betul ada yang beritau saya watak bapa durjana, Iman membuatkan ramai sakit hati dan mahu boikot ST Rosyam Mart. Sebenarnya mereka tidak maksudkan pun, itu cuma gurauan.
Orang tak benci Rosyam Nor, orang marah Iman, seorang ketua keluarga yang sepatutnya jadi pelindung tetapi bersikap menjijikkan.
“Dulu masa mula-mula nak buka ST Rosyam Mart pada 2018 pun ramai yang kata nak boikot, tapi alhamdulillah apabila timbul perkara sebegitu mereka sebenarnya sedang mempromosikan perniagaan saya,” katanya kepada media.
Rosyam turut menegaskan, masyarakt sedia maklum tugasnya selaku pelakon dan dalam masa sama memberikan sokongan terhadap peniagaan diusahakannya.
Terima kasih atas sokongan tidak berbelah bahagi kepada saya sejak dulu sama ada dalam bidang lakonan mahupun bisnes biarpun kadangkala impak sesuatu watak itu menjentik kesabaran penonton,” ujarnya.
Pada masa sama, Rosyam mengakui watak Iman yang digalas bukan bertujuan mencetuskan kontroversi, sebaliknya merupakan bentuk pengajaran untuk dihadam masyarakat.
“Iman tidak sensasi tapi pelakuan karakter terbabit yang membuatkan penonton ‘panas’. Mungkin ramai dalam kalangan kita tahu hal seperti dalam drama itu terjadi, tapi tidak dapat mendedahkannya kerana tiada bukti.
“Melalui paparan watak Iman yang menjijikkan, itulah yang sebenarnya terpaksa dilalui mangsa mangsa.
Individu yang mereka sayang sebenarnya seorang binatang. Itulah watak Iman yang ditulis Erma Fatima, kemudian saya bentuk perwatakan lelaki berkenaan sebagai iblis dan syaitan bertopengkan manusia yang tidak pedulikan darah dagingnya,” katanya.
Penerbit Suhan Movies & Trading itu juga berterima kasih apabila kredibiliti menggalas peranan mencabar itu meraih pujian sekali gus menyifatkan itu juga sebahagian daripada dakwah.
“Saya setuju lakonan juga merupakan satu bentuk dakwah untuk membuka mata orang sehingga watak Iman menjadi fenomena.
“Walaupun banyak watak-watak yang dibentuk dalam bulan Ramadan dan Aidilfitri, tetapi impak Iman dalam media sosial cukup meluas.
Terdahulu, drama terbitan Rumah Karya Citra Sdn Bhd itu menarik perhatian ramai apabila mengetengahkan isu sensasi dan tabu yang berlaku dalam sebuah keluarga. – HIBGLAM