MELAKAR kejayaan, usahawan dan pelakon Datuk Zamshuri Ramli menyifatkan Anugerah Bintang Usahawan Negara 2025 yang diraih sebagai penyuntik semangat untuk terus menyumbang semula kepada masyarakat.
Zamshuri atau nama sebenarnya Nor Zamshuri Ramli, 54, berkata, pengiktirafan daripada Dewan Perniagaan Datuk Dato’ Malaysia (DPDDM) bukan sekadar pencapaian peribadi bahkan sebagai satu amanah besar.
“Alhamdulillah. Anugerah ini merupakan penghormatan buat diri saya apatah lagi turut diterima penggiat industri, Datuk Aaron Aziz dan Datuk Norman KRU.
Saya anggap diri ini kecil dibandingkan dengan mereka. Namun, semangat dan pengorbanan mereka dalam apa yang diperjuangkan cukup memberi inspirasi kepada saya.
“Terima kasih kepada Datuk Nor Hasnal Hashmi yang merupakan individu penting di sebalik DPDDM apabila nampak usaha saya dalam membantu masyarakat. Saya akan terus berbakti,” katanya.
Pelakon yang lebih dua dekad dalam industri seni itu aktif sebagai penceramah motivasi dan dikenali sebagai Master Coach HBA dengan melahirkan lebih 7,000 usahawan di bawah Program Pembangunan Usahawan Waqaf Digital pertama di Malaysia.
Menurutnya, usaha dilakukan membuka peluang kepada masyarakat berusia antara 18 hingga 55 tahun yang tidak mempunyai pendidikan tinggi untuk menjadi usahawan selain membantu ‘membebaskan’ mereka yang muflis.
“Pengiktirafan ini menyuntik semangat saya untuk menggandakan usaha membantu masyarakat.
Setiap bulan saya buat sesi temu duga dan lima individu terpilih akan saya taja sepenuhnya selama tiga tahun. Inilah saya lakukan sejak lima tahun lalu.
“Kebanyakan orang yang tidak mempunyai diploma atau hanya ada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sukar untuk dapat peluang kerja semata-mata kurang cemerlang akademik,” ujarnya.
Zamshuri aktif berlakon sejak era 90-an mula dikenali menerusi drama bersiri Skuad Elite sebelum ‘terjun’ ke layar perak membintangi Misi 1511, Gerak Khas The Movie 3, Kepulangan dan filem Bollywood, Don.
Pernah menjadi penyampai radio IKIM serta menghasilkan album berduet dengan pelakon Rashdan Baba, beliau ingin kembali aktif dalam arena seni. – HIBGLAM