Muliakan Ramadan, Neelofa lbaca al-Quran empat jam sehari

MEMANFAATKAN bulan mulia sepenuhnya, usahawan selebriti, Neelofa berkongsi rutin hariannya sepanjang Ramadan yang dipenuhi dengan ibadah serta aktiviti keluarga.

Ujar Neelofa atau nama lengkapnya Noor Neelofa Mohd. Noor, 36, harinya bermula seawal 4.30 pagi dengan ibadah sebelum bersahur secara sederhana bersama suami, Haris Ismail.

“Saya bangun 4.30 pagi, ambil air sembahyang dan solat dahulu. Kemudian bersahur dengan kurma serta air 500ml. Saya makan madu juga.

Sepuluh minit sebelum azan, saya kejut Haris dan suapkan dia kurma. Selepas itu saya bersiap untuk solat, dia pula akan ke masjid,” katanya menerusi siaran langsung dalam TikTok.

Selain tanggungjawab sebagai isteri dan ibu, pelakon Suri Hati Mr Pilot itu turut mengkhususkan masa selama empat jam sehari untuk membaca al-Quran.

“Setelah itu saya akan membaca al-Quran selama empat jam sehari. Pada pukul 11 pagi atau 12 tengah hari pula saya tidur sekejap.

“Kemudian saya akan ke dapur siapkan makanan anak-anak. Selesai solat zohor, saya baca al-Quran lagi,” jelasnya.

Menjelang petang, bekas pengacara MeleTOP itu akan ke dapur menyediakan juadah berbuka.

Buat air jus, goreng karipap, potong bahan masakan. Tapi setakat ini baru sekali saya masak sebab mama hantar makanan setiap hari.

“Bilal pun akan suruh saya membaca al-Quran, jadi saya selang-selikan aktiviti dengan anak-anak,” ujarnya.

Pada waktu malam, rutin ibadah diteruskan dengan solat tarawih bersama suami atau secara bersendirian di rumah.

Selepas berbuka, bila Haris ada, kami ke masjid untuk tarawih. Kalau dia tiada, saya tarawih sendiri di rumah.

“Di rumah ada al-Quran besar, jadi sambil solat saya baca daripada situ,” dedahnya.

Perkongsian itu menerima reaksi positif daripada netizen yang kagum dengan disiplin Neelofa dalam mengisi bulan Ramadan.

“Empat jam sehari baca al-Quran? Masya-Allah, inspirasi betul!” tulis seorang pengguna TikTok.

Kagum dengan Neelofa, ibu dan isteri tetap boleh seimbangkan ibadah serta keluarga,” luah seorang lagi peminat.

“Ramai sibuk dengan dunia, Neelofa sibuk dengan al-Quran. Moga terus istiqamah,” tambah netizen lain.

Dedikasi selebriti itu terhadap ibadah sememangnya memberi inspirasi kepada ramai, terutama dalam mengisi bulan Ramadan dengan aktiviti yang lebih bermakna. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok