GARA-GARA tersilap mengisi borang tuntutan pengesahan lafaz taklik terhadap isterinya, pelakon dan pelawak Along Cham ditegur hakim agar jangan menghuru-harakan proses mahkamah dengan melantik peguam.
Hakim Syarie, Muhamad Nazri Basrawi, berkata pemilik nama sebenar Muhammad Nizamuddin Ahmad selaku plaintif perlu membuat pindaan semula pada dokumen tuntutan bagi sebutan semula kes yang ditunda ke 8 Mei depan.
Minta betulkan dokumen (tuntutan pengesahan taklik) ini. Berapa sebenarnya lafaz yang nak disahkan hari ini? Buat betul-betul, jangan jadi huru-hara.
“Dakwaan ini sepatutnya kena dibuat dengan teratur. Nyatakan lafaz pertama bila (tarikh) termasuk rujuk atau tidak. Nanti kena datang semula ke mahkamah semula.
Boleh bicara tanpa huru-hara. Saya Kena ikut proses betul-betul, lantik peguam,” katanya ketika sebutan kes pengesahan taklik itu di Mahkamah Syariah Rendah Sepang, di sini, hari ini.
Menurut Muhamad Nazri secara berseloroh selepas diasak Along, beliau juga mahu menyegerakan kes membabitkan selebriti terbabit dan isterinya, Afreena Suhaimi.
Saya pun nak cepat, kalau boleh saya nak selesaikan kes ini semalam,” ujarnya.
Pagi tadi Along selaku plaintif hadir ke mahkamah tanpa peguam dengan hanya ditemani ibunya, Siti Habsah Kadir, 64, dan adik perempuannya.
Manakala isterinya, Afreena diiringi peguamnya, Mohamad Iezwan Ielias, ibu bapa serta rakan kepada keluarganya yang dikatakan turut menjadi saksi perkahwinan mereka tahun lalu.
Menurut hakim lagi, pihak defenden juga boleh mengajukan sebarang pembelaan pada sebutan pengesahan akan datang.
“Pada tarikh akan datang nanti, kalau pihak pembela mahu boleh juga buat pembelaan,” katanya.
Pada masa sama, peguam Afreena memang berhasrat meneruskan perbicaraan namun mengakui berlakunya kelompongan pada tuntutan dibuat.
Kami akan teruskan perbicaraan. Lafaz kedua adalah lafaz pertama, barulah berlaku taklik pada Julai lalu,” ujarnya.
Terdahulu pada 28 Januari, Along mahu menfailkan lafaz taklik di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, namun mahkamah mengarahkan pelakon tersebut melakukan permohonan tersebut di Mahkamah Rendah Syariah Sepang mengikut alamat rumahnya.
Tindakan itu diambil selepas Along mendakwa isterinya melanggar tiga perkara yang dipersetujui tahun lalu termasuk tidak patuh arahan dan membelakangkan suami.
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 4 April 2024 yang juga perkahwinan kedua Along selepas bercerai dengan isteri pertama, Zila Saeron pada September 2016.
Hasil perkongsian hidup daripada perkahwinan pertama, Along dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Daniel, 14, yang kini di bawah jagaannya. – HIBGLAM