SUSULAN kontroversi konten yang didakwa mempersenda tarian kavadi Hindu, penyampai radio Azad Jasmin tampil memohon maaf secara terbuka menerusi media sosialnya.
Dalam masa sama, Azad atau nama sebenarnya Azad @ Jazmin John Louis Jefri, 49, berharap orang ramai dapat memaafkan tindakannya yang mengguris hati kaum India termasuk ahli keluarganya sendiri.
“Sebenarnya, saya buat video khas ini untuk kawan-kawan, keluarga dan peminat yang berbangsa India.
Ya salah tetap salah, jadi saya nak minta maaf kepada semua peminat dan mereka yang berbangsa India.
“Kami juga sudah buat permohonan maaf secara terbuka dan berharap sangat agar kawan-kawan dan keluarga saya berbangsa India sudi memaafkan kami,” katanya dalam InstaStory.
Dalam masa sama, Azad atau lebih mesra disapa Pak Azad itu memaklumkan ahli keluarganya yang berketurunan India turut kesal dengan tindakan dilakukannya.
“Sejujurnya, saya juga mempunyai darah keturunan India. Arwah bapa saya berbangsa India yang memeluk agama Islam.
Ramai juga ahli keluarga saya marah sebab mereka rasakan tindakan kami sangat tidak sopan,” jelasnya.
Berdasarkan pemerhatian HibGlam, Azad sudah memadam hantaran tersebut dalam Instagramnya.
Semalam, video permohonan maaf daripada penyampai 3 Pagi Era iaitu Nabil Ahmad, Radin Amir dan Azad Jasmin tular selepas insiden mempersenda tarian kavadi Hindu ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan mencetuskan kontroversi.
Video asal yang kini sudah diturunkan daripada platform media sosial stesen berkenaan memaparkan seorang daripada mereka meniru tarian kavadi sambil menyebut ‘Vel, Vel’ disusuli gelak tawa rakan lain.
Hari ini, ketiga-tiga mereka selesai memberi keterangan kepada polis selepas lebih dua jam di Bukit Aman.
Polis mengesahkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – HIBGLAM