BUKAN mudah untuk seseorang penyanyi merealisasikan sebuah konsert solo, tetapi impian tersebut bukan lagi angan-angan buat Ernie Zakri. Meski bersepan 1,001 liku termasuk masalah kesihatan sehingga menjejaskan peti suaranya, dia berjaya membuktikan setiap kesungguhan pasti ada jalan.
Mengalami masalah laringitis atau keradangan tekak disebabkan jangkitan kuman sepanjang tempoh seminggu sebelum Aura: Ernie Zakri Live In Concert berlangsung merupakan ujian terbesar yang dilaluinya.
Bukan mudah untuk menerima kenyataan kualiti vokal memburuk pada hari konsert, Ernie bagaimanapun reda dan perlahan-lahan berdamai dengan takdir serta apa sahaja yang akan berlaku sepanjang dua jam persembahan di hadapan lebih 2,500 penonton.
Jika disingkap semula konsert yang berlangsung di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) baru-baru ini, penulis juga yang pada awalnya tertanya-tanya mengapa penyanyi kesayangan ramai itu tidak bertutur walau sepatah perkataan sepanjang persembahan.
Rupa-rupanya masalah kesihatan yang tidak mengizinkannya untuk berbual mesra dengan para penonton, namun dia tetap memberi persembahan hebat.

MESKI mengalami masalah keradangan tekak, Ernie berjaya mengalunkan 23 lagu dengan baik.
Mendendangkan 23 lagu dalam tempoh dua jam dengan masalah suara, Ernie terbukti hebat dan sememangnya layak diberikan ‘standing ovation’.
Masakan tidak, jika tidak diberitahu tentang isu kesihatan, tiada siapa tahu Ernie sedang bergelut dengan laryngitis.
Menyarung tiga busana indah daripada pereka fesyen berbeza iaitu Rizman Ruzaini, Amazae dan Rizalman, Ernie membuktikan sakit bukan penghalangnya untuk terus memukau ramai selama dua jam acara berlangsung.
Antara lagu yang didendangkan pada konsert yang bermula tepat pukul 8 malam ialah dipetik daripada album Aura seperti Jangan Hilang Percaya, Terima Seadanya, Tercipta Sempurna dan Satu Cinta.
Lagu paling dinanti-nanti ramai pastinya Masing Masing dan Hal Hebat yang berjaya melonjakkan namanya di Indonesia tahun lalu.
Istimewanya, pencipta dua lagu tersebut iaitu Ade Govinda turut hadir mengiringi persembahan sekali gus menyuntik emosi berbeza kepada penonton.
Meski kurang sihat, Ernie tetap lincah apabila berduet dengan anggota kumpulan Dolla, Sabronzo, menerusi lagu Luv.
Seperti penyanyi undangan yang wajib ada, Syamel muncul menyerikan persembahan dengan menyanyikan lagu duet mereka iaitu Aku Cinta dan Die With A Smile dendangan asal Bruno Mars dan Lady Gaga.
Pada akhir konsert, meski ‘perit’ untuk bercakap, Ernie tetap menzahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada penonton yang memahami keadaannya.
“Terima kasih membuka mata dan telinga anda untuk saya malam ini.
“Terima kasih kepada semua yang hadir termasuk ernienators (kelab peminat). Saya tak akan pernah lupakan malam ini,” katanya pada penghujung acara.

PENYANYI Anuar Zain dan Ziana Zain turut hadir menjadi penyokong utama buat Ernie yang merupakan anak saudara mereka.
Titik terendah
Akui Ernie, hilang suara sehingga menjejaskan nyanyian dan berlaku pada konsert solo pertama adalah momen paling ‘gelap’ sepanjang karier sebagai penyanyi.
“Suami adalah kekuatan saya. Dalam tempoh seminggu ini, memang tak boleh kalau dia tiada.
“Saya sentiasa nak pegang tangan dia, tidur sebelah dia sebab dia penyanyi jadi dia faham apa yang bergejolak dalam hati saya.
“Ini adalah titik terendah saya sepanjang bergelar penyanyi. Tolak tepi semua yang pernah berlaku sebelum ini. Namun, saya percaya semua ini adalah rezeki Allah SWT,” katanya kepada HibGlam.

ERNIE harus cukup rehat bagi memulihkan suaranya demi bertanding di pentas AJL39 pada 16 Februari ini.
Sempat ditanya emosinya yang dilihat sebak ketika mendendangkan lagu Tercipta Sempurna yang ditujukan khas buat puterinya, Nur Khawla Soleha, Ernie kui kurang menghabiskan masa bersama disebabkan kepadatan jadual kerja, termasuk berkaitan konsert.
“Dalam tempoh sebulan ini, saya memang tiada masa dengan anak. Namun, saya fikir semua ini yang perlu dibayar kerana kerjaya.
“Pastinya momen tadi ‘sakit’ sebenarnya. Pengorbanan. Kita dapat kejayaan tetapi masa dengan anak pula tiada.
“Harap Khawla tahu saya lakukan semua ini untuk dia. Alhamdulillah dia sangat baik dan memahami,” ujarnya.
Menjelang Anugerah Juara Lagu ke-39 yang bakal berlangsung pada 16 Februari ini, Ernie harus ada rehat yang cukup untuk memulihkan suaranya.
Pada AJL nanti, Ernie bakal mempertaruhkan lagu Aura ciptaannya bersama John Jeeves, Firdaus Rahmat.
“Doktor sarankan saya rehat untuk dua hingga tiga minggu. Ketika ini saya nak rehat dan perlu tidur sahaja ketika ini,” jelasnya. – HIBGLAM