Sumala: Menyesal tak sudah, iblis ‘suburkan’ rahim demi anak

Filem seram berjudul Sumala yang diangkat daripada kisah benar merupakan antara cerita terlaris di Netflix Malaysia buat masa sekarang. 

Setakat ulasan ini ditulis, naskhah arahan Rizal Mantovani itu berada di kedudukan keempat filem trending platform penstriman tersebut sekali gus menjadi antara pilihan audiens negara ini. 

Berkesempatan menonton filem hebat lakonan Luna Maya, Darius Sinathrya dan Makayla Rose baru-baru ini, penulis semakin mencemburui kualiti karya seram negara seberang. 

Pertama sekali, dari segi elemen kejutan, Sumala melepasi segala jangkaan awal penulis sebelum memulakan tontonan. Filem ini bukan tipikal karya seram dari Indonesia tetapi hadir dengan pelbagai kualiti luar biasa. 

Sinergi lakonan antara dua pelakon utama Sumala, Luna Maya (Sulastri) dan Darius (Soedjiman) cukup meninggalkan kesan kepada audiens.

Sejujurnya, penulis suka dengan cara sutradara membangunkan cerita seram ini. 

Garapan sutradara

Daripada kesulitan sepasang suami isteri yang bingung masih belum dikurniakan zuriat selepas 11 tahun berkahwin hingga usaha terpaksa meminta bantuan dukun sekali gus mengikat janji dengan iblis, itu semua diadun dengan cukup teliti dan sempurna. 

Daripada kisah Sumala terbit kesedaran bahawa dalam apa jua kesusahan jangan sesekali meminta pertolongan makhluk terlaknat iaitu iblis dan konco-konconya. 

Hal ini kerana, dalam apa jua tindakan terutama melibatkan entiti itu, pasti akan ada kemudaratannya. 

Seperti apa berlaku kepada Sulastri dan Soedjiman, itu juga berkemungkinan terjadi kepada mana-mana pasangan suami isteri yang cetek ilmu agama hingga tergamak mencari bahagia dunia bersifat sementara. 

Keduanya, penulis sangat kagum dengan pemainan karakter utama filem ini iaitu Luna sebagai Sulastri, Darius (Soedjiman) dan semestinya pelakon cilik Makayla Rose (Kumala dan Sumala). 

Makayla luar biasa

Sinergi lakonan antara watak Sulastri dan Soediman ternyata hebat, namun paling mencuri tumpuan adalah terjemahan karakter Makayla sebagai Kumala dan Sumala. 

Adegan ‘gory’ tercetus dalam filem Sumala setanding filem Hollywood. 

Bukan satu karakter, dia memainkan dua watak yang memerlukan ketahanan fizikal tinggi, permainan emosi berbolak-balik dan semestinya kostum ‘iblis’ menerusi karakter tersebut menjadi habis.

Memang luar biasa permainan karakter si cilik bernama Makayla. Dialog menyeramkan dilontarkan, mimik wajah serta bahasa tubuhnya antara yang meneruskan kemenjadian filem Sumala.

Ada banyak babak dipamerkan dalam Sumala lebih menakutkan daripada filem seram Hollywood. Antara yang berbekas apabila Kumala mengoyakkan wajah dari bahagian mulut ke kepala.

Kendati ada beberapa babak ‘gory’ yang kelihatan tidak tercapai akal, itu semua DNA pengarah untuk memastikan audiens tidak senang duduk.

Pelakon cilik bernama Makayla mencuri tumpuan menjadi ‘anak iblis’ dalam filem seram Indonesia, Sumala.

Markah untuk Sumala 80 per 100. Kalau tidak kuat menonton seorang diri dalam kegelapan malam, tolong jangan berani berbuat demikian, takut terngiang-ngiang roh Sumala.

Filem: Sumala

Pengarah: Rizal Mantovani

Pelakon: Luna Maya, Darius Sinathrya dan Makayla Rose

Sumber: Hitmaker Studios, Netflix

Bintang:★★★★☆
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok