Jika ada mana-mana lelaki yang mahu mendampingi aktres jelita, Sharifah Rose, pastikan anda merupakan seorang yang aktif bersukan.
Menurut Sharifah Rose atau nama lengkapnya Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd. Mazfira, 27, antara ciri-ciri lelaki idamannya adalah mereka yang aktif bersukan dan menjalani kehidupan yang sihat.
“Betul saya sukakan lelaki yang aktif dalam sukan. Lelaki yang bersukan ini mempunyai tubuh yang fit dan lean. Barulah nampak handsome kalau tengok dari jauh.
“Tak naklah lelaki yang tak jaga badan, nanti perut dia boroi macam mana? Kita mengandung, dia pun ‘mengandung’ juga,” katanya ketika ditemui di pertunjukan fesyen Summer Raya 2025 Rico Rinaldi, di sini, semalam.
Selain menyukai lelaki yang aktif bersukan pelakon drama bersiri Do You Love Me, Captain? Itu juga sangat menitikberatkan soal adab dan tatasusila.
“Saya suka lelaki yang bertanggungjawab rajin dan bekerja keras. Dia mestilah seorang yang lemah lembut dan menghormati orang tua. ‘Family man’ lah orang kata,” kongsinya.
Namun kata anak sulung daripada dua beradik ini, dia akan cuba mengelak daripada lelaki yang bertubuh sasa.
“Biasanya lelaki yang bertubuh sasa ini mesti panas baran. Saya pula sejenis yang lemah lembut. Nanti siapa pula nak pujuk saya,” katanya berseloroh.
Bercerita tentang perkembangan kerjaya seni, kata Rose dia kini mengambil tempoh untuk berehat daripada bidang lakonan sebagai persedia menyambut bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi.
“Selalunya bulan puasa memang saya tak akan ambil tawaran berlakon kerana amat memenatkan. Saya pernah bekerja di bulan Ramadan dulu. Akhirnya ke laut. Jadi lebih baik saya berehat sahaja sepanjang Ramadan,” katanya mengakhiri perbualan. – HIBGLAM